Pages

Sunday, 6 November 2016

Adenan bantah penutupan IPG Rajang dan IPG Miri



KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula langkah untuk menukar dua Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri ini kepada Pusat Pendidikan Vokasional (PPV).

Menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘bodoh,’ Adenan berkata kerajaan persekutuan sepatutnya menggunakan fasiliti lain bagi tujuan pendidikan teknikal mahupun vokasional.

“Saya tahu akan kepentingan pendidikan teknikal, tetapi untuk menutup dan menukar IPG sedia ada bagi tujuan ini bukan langkah atau keputusan yang terbaik.

“Sehubungan itu, saya meminta kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan semula penutupan dan pertukaran dua daripada IPG ini untuk tujuan pendidikan teknikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wanita 2016 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan di sini semalam.

Sarawak mempunyai empat buah IPG iaitu IPG Miri, IPG Rajang, IPG Samarahan dan IPG Batu Lintang.

Terdahulu dalam ucapan, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah turut menyatakan kebimbangan yang sama terhadap langkah kerajaan persekutuan itu.

Beliau sebelum ini turut mendedahkan dua IPG yang akan ditutup ialah IPG Rajang yang merupakan pakar melahirkan akademik Iban dan IPG Miri pakar dalam pendidikan Penan.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan sekali lagi mempertahankan pendirian kerajaan negeri untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini.

“Satu daripada keputusan bodoh yang dibuat kerajaan persekutuan antara 30 hingga 40 tahun dahulu ialah tidak mementingkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan sekolah.

“Kesannya, ramai graduan kita pada masa ini tidak fasih dalam bahasa Inggeris yang menjadi halangan utama untuk mereka bersaing dalam dunia pekerjaan.

“Tetapi masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan perkara ini dan saya bertegas untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua untuk kita di Sarawak,” katanya.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment