Pages

Thursday 6 August 2015

Kisah Hantu Bangkit dalam Versi Masyarakat Sarawak



Kisah seram, berhantu adalah kisah mistik yang menakutkan merupakan kisah yang dipercayai oleh masyarakat kita. Apatah lagi diceritakan sendiri oleh orang tua kita yang terdahulu.

Kisahnya bermula apabila sepohon pokok yang besar telah ditebang oleh penduduk kampung yang bimbang kerana kerimbunannya telah menutup ruang udara kampung untuk mendapat cahaya matahari. Setelah berbincang dengan ketua kampung, dengan sebulat suara 7 orang pemuda yang gagah bertekad untuk menebang pokok tersebut.

Tetapi setelah kerja penebangan dilakukan, dengan apa cara apa sekalipun pokok tersebut masih tidak dapat ditebang malah tidak terkesan sedikit pun. Tiba-tiba terdengar satu suara yang datang dari arah pokok tersebut. Suara itu telah memberi amaran, "barang siapa yang berani menebang pokok ini , maka mereka akan disumpah bangkit dari mati selama 7 hari  selama 7 keturunan".

Oleh kerana marah dan rasa tercabar, mereka bertujuh tetap meneruskan hasrat dan akhirnya pokok tersebut jatuh tersungkur menyembah bumi.

Seketika kemudian secara tiba-tiba, salah seorang pemuda dari 7 orang pemuda tersebut telah rebah dan mati secara mengejut. Pada malamnya setelah pemuda tersebut dikebumikan, ahli keluarganya merasa terkejut kerana melihat kehadiran pemuda tersebut di rumah. Keesokannya pula terdapat bekas tanah kubur terlekat di lantai dan tangga rumah.

Kejadian sebegini berlarutan sehingga malam yang ke-7. Penduduk kampung akan terserempak dengan pemuda ini merayau-rayau dan akan menziarahi rumah keluarganya dan rakan terdekat.

Bermula dari kisah yang membimbangkan ini, 6 orang pemuda yang masih hidup mengambil keputusan untuk berpidah ke tempat lain.

Menurut apa yang telah  diceritakan orang tua-tua dulu-dulu, kisah ini ada kaitan dengan masyarakat Kayong yang berasal dari Tanah Kayong, Kalimantan Barat, Indonesia. Mereka mula berhijrah ke beberapa kawasan lain. Di Sarawak, mereka dikatakan mendiami kawasan sekitar kampung Gersik dan kampung Boyan di Kuching.

Kisah hantu bangkit terkenal di Kuching pada era tahun 1960an sehingga ke awal tahun 1990an terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik. Hantu bangkit dikatakan bersuara sengau dan berbau busuk.
Kisah ini mungkin benar atau sekadar mitos. Tapi kewujudan hantu bangkit bukanlah kisah yang direka. Ia benar-benar berlaku.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment