Pages

Thursday, 9 July 2015

Wanita dipercayai disimbah asid oleh bekas suami



KUCHING: Seorang wanita warga asing melecur di muka dan badan selepas dipercayai disimbah asid oleh bekas suaminya ekoran perselisihan faham di antara mereka, semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 28 tahun bersama seorang anaknya yang baharu berusia lima tahun menyewa di sebuah rumah di Kampung Gersik di sini selepas bercerai dengan suaminya.

Difahamkan, bekas suaminya telah pergi ke rumah tersebut dan berlaku pertengkaran di antara mereka sekitar jam 5 pagi.

“Penduduk kampung pada mulanya mendengar mereka bertengkar sebelum kedengaran mangsa menjerit meminta tolong dan mengerang kesakitan kira-kira 15 minit kemudian.

“Jiran yang risau akan keadaan mangsa terus ke rumah mangsa dan terkejut melihat mangsa melecur dari muka hingga ke kaki dipercayai disimbah dengan sejenis asid,” kata sumber.

Dengan dibantu oleh beberapa lagi jiran, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh jiran mangsa.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment