MIRI: Bahagian Miri akan mengalami keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bermula semalam dan diramal berlarutan sehingga 12 Julai ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam laman web rasminya yang dikeluarkan jam 11.58 pagi semalam, memberitahu bahawa angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak.
Bagi Sabah, angin kencang itu dijangka melanda kawasan pedalaman negeri dan pantai baratnya manakala di Sarawak hanya Miri sahaja.
Angin kencang dengan ombak dijangka mampu mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter atau 11 kaki diramal berterusan sehingga Ahad. - UB
