Pages

Wednesday, 24 June 2015

Kerajaan negeri akan menaikkan bayaran elaun bulanan



KUCHING: Kerajaan negeri akan menaikkan bayaran elaun bulanan kepada penerima bantuan kebajikan di negeri ini bermula tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata inisiatif bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik itu dibuat ekoran pendapatan negeri yang bertambah.

Justeru, katanya beliau akan mengumumkan secara rasmi kenaikan bayaran kebajikan itu menerusi pembentangan Bajet Negeri 2016 pada November nanti.

“Oleh kerana pendapatan negeri ada bertambah sedikit, maka kerajaan negeri akan bersedekah lebih untuk orang yang memerlukan dengan menaikkan bayaran bantuan kebajikan menerusi bajet negeri yang akan dibentangkan pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sinar Ramadan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Bagaimanapun, Adenan yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata jumlah bayaran yang akan dinaikkan belum lagi diketahui.

Namun, beliau menegaskan bahawa kenaikan terhadap bayaran bantuan kebajikan adalah wajar dilakukan kerana kenaikan harga barang yang ketara pada masa ini disebabkan pelaksanaan GST.

“Disebabkan GST banyak harga barang telah naik, jadi bayaran kebajikan pun patut dinaikkan juga.

“Bagi Sarawak kita tunggu pada November ini dan bermula tahun depan, penerima bantuan kebajikan kita boleh menerima sumbangan yang lebih daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Adenan berkata beliau akan turut meminta kerajaan pusat mengikuti langkah Sarawak dalam menambah bayaran kebajikan kepada para penerima. -UB
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment