Isu "Cap Ayam", Deejay Era FM Terima Ancaman, Mohon Maaf Minggu Depan |
Deejay Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara
Liga Perdana Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara
Pagi Era minggu depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr
Jake Abdullah beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan
memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif
berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.
"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara
itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM,
hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.
Beliau mengaku benar-benar kecewa
selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat
Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.
"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham," katanya
sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak
(FAS) sejak 2010.
Kenyataan negatif itu dikeluarkan
apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia
baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak
menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu
bermain dalam liga yang mana semua pasukannya adalah 'cap ayam' atau
tidak berkualiti.
Deejay berkenaan juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan yang
tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di
peringkat Liga Perdana.
Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di
sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial
Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain
timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka berkunjung ke
Sarawak.
Pemantauan pihak Bernama mendapati kebanyakan blog memulakan kempen bagi
memboikot Era FM sebagai tanda protes jika deejay berkenaan enggan
memohon maaf ketika mereka ke udara.
Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili
berkata deejay berkenaan adalah personaliti yang dikenali ramai dan
mereka sepatutnya mengetahui etika ketika bersiaran di radio.
"Pemuda PBB mendesak satu permohonan maaf dibuat secara terbuka, jika
mereka bergurau, maka mereka sudah melampaui batasan, perlu ada had,
mereka harus memahami sensitiviti komuniti tempatan," katanya kepada
Bernama.
Dalam perkembangan lain, Jake berkata peluasan itu sebahagian rancangan
jangka panjang Astro Radio bagi memperkukuh kedudukannya dalam industri
penyiaran di negara ini.
"Visi kami ialah memiliki operasi sendiri yang bebas di Sabah dan
Sarawak, mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 hingga
36 bulan akan datang," katanya.
Beliau berkata pada masa ini, sesetengah program yang bersiaran adalah
dari Semenanjung, dan selepas beroperasi sepenuhnya di sini, pendengar
di Sarawak serta Sabah boleh menikmati kandungan tempatan 24 jam sehari.
Ketika ini, dianggar lebih 500,000 pendengar Era FM, hitz fm serta My FM di Sarawak dan Sabah. - Bernama