Kini, masyarakat di sekeliling kita asyik mempolemikkan isu pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System – AES) di spot-spot tertentu. Pemilihan lokasi ini adalah disebabkan kawasan tersebut sering berlakunya kemalangan yang melibatkan KEMATIAN nyawa dan KECELAKAAN kepada pengguna. Merujuk kepada catatan Muhammad Shaahidun Shayaa dalam menghuraikan permasalahan ini telah merumuskan betapa masyarakat kita mempunyai PERSEPSI negatif kepada pemasangan AES.
Coretan artikal ini sedikit sebanyak dapat menerangkan permasalahan. Isu ini semakin panas diperdebatkan di dalam media massa dan media cetak sejak beberapa hari yang lepas, apabila ahli-ahli politik pembangkang memperbesarkan isu ini dan menjadikannya persis sebuah SARKAS.
Senario AES – Keliru dan Celaru
Adakah AES keliru lagi mengelirukan pengguna atau minda pengguna itu sendiri yang celaru
Kenapa kita
begitu kuat mempertahankan pesalah-pesalah trafik? Bukankah kita
menggunakan jalanraya setiap hari dan menyedari betapa tingkahlaku
sesetengah pengguna-pengguna jalanraya adalah sangat menjengkelkan dan merbahaya?
Memandu
melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memotong
di jalan garisan dua selari serta mereka yang memasuki jalan-jalan
larangan pada waktu-waktu yang sibuk; ini semua adalah senario harian
dalam pengalaman pemanduan kita semua.
Adakah kita
ini semata-mata sebuah negara yang dipenuhi pengguna-pengguna jalanraya
yang tidak bertimbang rasa sehinggakan kita harus menyuarakan
ketidakpuasan hati kita kepada sebuah sistem baru yang boleh memastikan
keselamatan jalanraya untuk kita semua?
Penggunaan AES Di Negara Luar
AES telah
pun dilaksanakan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara membangun
seperti Perancis, Jerman, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.
Terdapat lebih daripada 90 negara-negara di seluruh dunia yang melaksanakan sistem elektronik yang serupa, dan hasilnya amat memberangsangkan.
Kita ambil contoh Perancis di mana jumlah kematian akibat kemalangan jalanraya telah menurun sebanyak 27 peratus dalam tempoh hanya tiga tahun selepas dilaksanakan. Di Kuwait, kadar kemalangan trafik telah berkurangan sebanyak 48 peratus sementara di Jerman pula, 80 peratus daripada
pengguna-pengguna jalanraya telah mula mematuhi peraturan-peraturan
jalanraya di kawasan-kawasan yang diletakkan di bawah pengawasan AES.
Senarai
kawasan “hotspot” (pilot project – Lembah Klang) yang telah dipasang
AES telah mencatatkan bilangan kesalahan yang amat mengerikan. Senario
ini membuktikan pemanduan kenderaan di jalan raya di tahap merbahaya
Sejak fasa
pertama pelancarannya di negara kita pada 23 September tahun ini, 14
buah kamera yang telah dipasang di kawasan-kawasan “blackspot” di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dilaporkan dapat merakamkan sejumlah 63,558 kesalahan-kesalahan trafik dalam masa lapan hari yang pertama.
Perangkaan ini seharusnya mengingatkan kita semua agar mematuhi undang-undang trafik,
bukannya untuk kita menimbulkan satu bentuk perbalahan yang menuduh
pihak kerajaan sedang cuba untuk merompak kita semua! Dan tahukah anda
bahawa jumlah pemandu yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan trafik
telah berkurangan lebih daripada separuh sejak minggu lepas?
Pengguna-pengguna
jalanraya kini bertambah berwaspada dan lebih mematuhi undang-undang
trafik kerana mereka tidak mahu ditangkap melakukan kesalahan oleh
kamera berkuasa tinggi yang diletakkan di tepi jalanraya-jalanraya kita.
Kenapa ini dianggap sebagai sesuatu yang membebankan rakyat Malaysia?
Kelebihan-Kelebihan AES
AES membawa banyak kelebihan-kelebihan, selain daripada objektif utamanya untuk memastikan keselamatan
setiap pengguna-pengguna jalanraya. Eloklah kita diingatkan bahawa AES
bukanlah sebuah sistem di mana kamera-kamera tersembunyi digunakan oleh
pegawai-pegawai polis trafik yang terpaksa bersembunyi di celah semak
samun sepanjang lebuhraya-lebuhraya kita. Papan-papan tanda amaran
diletakkan berdekatan lokasi-lokasi AES untuk mengingatkan
kita agar mematuhi undang-undang. Gambar-gambar kenderaan serta nombor
plet pesalah-pesalah akan diproses di pusat kawalan AES dan akan
diserahkan kepada JPJ untuk pengeluaran denda atau saman.
a) Mengurang dan menghapuskan amalan rasuah
Apa yang
membingungkan lagi adalah sikap sesetengah anggota masyarakat yang
menolak AES sedangkan ianya adalah sebuah sistem yang mengurangkan kebergantungan terhadap pihak polis dalam pengeluaran saman, ini bermakna kita dapat mengurangkan atau menghapuskan rasuah dalam
kalangan anggota polis trafik. Bukankah ini apa yang kita aspirasikan
bersama? Kita kerap menyelar pihak polis dan menuduh mereka mengamalkan
rasuah, dan dengan tiba-tiba, kita menolak pula sebuah sistem yang mampu
mengurangkan atau menghapuskan amalan rasuah. Kita menentang amalan
rasuah namun pada masa yang sama kita tidak berasa bersalah apabila kita
melanggar undang-undang jalanraya?
b) Mengurangkan bilangan kakitangan
Satu lagi aspek yang bagus tentang AES adalah ianya membantu mengurangkan jumlah kakitangan yang melaksanakan tugas-tugas ini secara manual sebelum
ini, sebagai contoh pegawai-pegawai polis yang bersembunyi di celah
semak-samun. Mereka boleh ditugaskan untuk melaksanakan
perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih membawa nilai tambahan sebagai
contoh membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di sekitar bandaraya.
Memang kita tidak suka diperhatikan sewaktu kita memandu, kita juga
perlu tahu bahawa pegawai-pegawai polis itu pun tidak suka bersembunyi
untuk menangkap anda. Mereka juga ada tugas-tugas lain.
c) Mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan trafik
AES mampu mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan trafik melalui sebuah sistem yang berfungsi 24 jam, di bawah setiap jenis cuaca atau keadaan.
Ia juga tidak mendiskriminasi, kerana tidak wujud sebarang interaksi
peribadi di antara sistem ini dan pesalah-pesalah, dan ia juga tidak
mendiskriminasi antara kenderaan-kenderaan persendirian, komersil
mahukan awam.
d) Meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalanraya
AES juga mensasar untuk meningkatkan tahap PERCEPTION OF BEING CAUGHT (POBC) dalam kalangan pengguna-pengguna jalanraya Malaysia demi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Biasanya, kadar POBC dalam kalangan pengguna jalanraya tempatan adalah 25 peratus pada hari-hari biasa dan 50 peratus pada musim-musim perayaan apabila kempen-kempen keselamatan jalanraya seperti Ops Sikap dijalankan.
| Apa salahnya jika kita berikan peluang kepada pihak berkuasa menguatkuasakan AES dalam tempoh tiga bulan. Selepas itu, barulah kita berikan komen atau bantahan |
Di
negara-negara maju di mana pengguna-pengguna jalanraya lebih berdisiplin
dan berpengetahuan, kadar POBC mereka adalah di antara 80-90 peratus.
Kita masih lagi jauh di belakang, namun kita sedang berada di landasan
yang betul. Kita tunggu dan lihat saja apa akan berlaku apabila lebih
banyak kamera lagi dipasang di kesemua 817 kawasan-kawasan “blackspot”
di seluruh negara.
Kenapa perlu kecoh?
Sesetengah orang mula memanggil AES sebagai “rompakan lebuhraya” dan ada juga yang mahu nama sistem ini ditukar kepada “Saman 1-Malaysia.” Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan AES sebagai satu alat untuk memeras rakyat demi keuntungan dan bukannya berfungsi sebagai satu usaha pencegahan kesalahan-kesalahan trafik.
Setiap
perniagaan perlu mendapatkan keuntungan, begitu juga dengan
syarikat-syarikat yang telah mendapat kontrak pembekalan dan
pengoperasian AES ini. Menurut Kementerian Pengangkutan, pihak kerajaan
tidak mengeluarkan kos walau satu sen pun untuk AES dan
syarikat-syarikat tersebut perlu menanggung segala kosnya.
Sekiranya ini benar, maka pihak syarikat perlu mendapatkan pinjaman dari institusi-institusi kewangan
untuk membeli kamera-kamera serta teknologi ini, dan sama seperti
perniagaan lain, syarikat-syarikat ini perlu mendapatkan pulangan dari
pelaburan mereka.
| Pengenalan MyEG tidak pernah dibantah oleh pengguna. Kenapa AES menjadi mendapat kecaman hebat tanpa diberikan peluang seperti MyEG? |
Tiada siapa yang membuat kecoh apabila MyeG Berhad mengenakan sedikit bayaran pemprosesan
untuk memproses permohonan-permohonan online seperti saman trafik dan
pembaharuan lesen cukai jalan, jadi kenapa segelintir masyarakat
menyuarakan kemarahan mereka terhadap kerajaan dan dua buah syarikat ini
sedangkan mereka sedang menjalankan model perniagaan yang serupa?
Kesimpulan
Tidak perlu
ada sebarang perbalahan tentang AES sekiranya kita mahu menjadi sebuah
masyarakat yang bertamadun, berbudaya dan matang. Kita berharap dengan
penuh keyakinan agar dalam jangka panjang, AES akan berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan maut, seperti mana yang terbukti di banyak negara-negara lain di seluruh dunia. Kini ada kira-kira 20 juta kenderaan berdaftar di negara kita dan kadar kemalangan jalanraya dan kematian akibatnya semakin berkembang setiap tahun.
Memang tidak
dapat kita nafikan bahawa pengeluaran saman-saman ini tidak mungkin
akan dapat membenteras pemandu-pemandu tidak bertanggungjawab dari
mendatangkan bahaya kepada orang lain, namun sebarang usaha yang
bertujuan untuk memastikan jalanraya kita selamat digunakan haruslah sentiasa kita sokong.