![]() |
| MARAK: Punca kebakaran yang memusnahkan tujuh gerai di Batu Lintang awal pagi semalam masih belum dikenal pasti. |
KUCHING: Tujuh gerai makan di Batu Lintang, di sini yang berusia
hampir separuh abad, musnah manakala tiga lagi berjaya diselamatkan
dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi semalam.
Kebanyakan
gerai terjejas dalam insiden sekitar jam 2 pagi itu adalah yang menjual
makanan laut dan air manakala antara yang terselamat adalah gerai
makanan India-Melayu iaitu rojak kucei.
Menurut Ketua Balai Bomba
Batu Lintang Mohd Azlee Mohd Arus, bomba terpaksa menggunakan peralatan
untuk memotong pagar-pagar gerai tersebut untuk memudahkan kerja
memadamkan kebakaran.
“Kami tidak berhadapan dengan banyak masalah
cuma sukar untuk masuk ke dalam sebab pagar berkunci dan kami terpaksa
menggunakan alat (memotong) untuk membuka pagar-pagar tersebut,” katanya
ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, semalam.
Bomba yang menerima panggilan jam 2.09 pagi dan tiba seminit kemudian katanya, berjaya memadamkan kebakaran pada jam 2.50 pagi.
Usaha
memadamkan kebakaran itu melibatkan tiga balai iaitu Balai Bomba Batu
Lintang dengan kekuatan sembilan anggota, Tabuan Jaya (10 anggota) dan
Padungan (tujuh anggota) serta dua unit bomba bermotosikal.
Azlee menambah, punca kebakaran atau dari mana kebakaran bermula serta anggaran kerugian masih belum dapat dikenal pasti.
“Bagaimanapun,
kami telah menghubungi Unit Forensik untuk memulakan siasatan,” katanya
sambil menambah tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sementara
itu, salah seorang penjaja makanan laut yang hanya dikenali sebagai Lim
bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan berhubung insiden itu.
Wanita
berusia dalam lingkungan 30-an itu memberitahu, dia mewarisi kedai
berkenaan daripada datuknya dan merupakan generasi ketiga yang
menguruskan perniagaan berusia hampir 50 tahun itu.
“Saya agak
terkejut dan cepat- cepat datang ke sini setelah mendengar khabar tidak
baik ini … tidak ada apa-apa yang dapat diselamatkan,” katanya.
Manakala
seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Puan Lim memberitahu bahawa
dia menyedari insiden itu setelah dimaklumkan oleh pekerjanya yang
tinggal di bangunan kedai berhampiran.
Katanya dia telah menjalankan perniagaan di situ sejak 30 tahun lalu.
“Sedih mengenangnya. Diharap kerajaan dapat bantu kami bina semula di tapak yang sama secepat mungkin,” katanya.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How yang melahirkan
kekesalan berhubung kejadian itu turut menyeru Majlis Bandaraya Kuching
Selatan (MBKS) menyegerakan pembinaan semula bangunan kedai tersebut dan
mengadakan sesi dialog bersama penjaja.
“Namun diharapkan sebuah
bangunan gerai sementara boleh diwujudkan tidak jauh dari tapak asal
bagi membolehkan penjaja-penjaja terjejas menyambung perniagaan seperti
biasa sementara menunggu pembinaan semula gerai yang musnah tersebut,”
katanya.
sumber
