Izinkan saya memperkenalkan anda kepada Menara Abjraj Al-Bait, tentu anda telah lama mengetahui tentang kehebatan menara ini. Ia merupakan bangunan yang kedua tertinggi selepas Burj Khalifa, Dubai. Ia juga dikenali sebagai Mekah Royal Hotel Clock Tower.
Seharusnya Malaysia boleh berbangga
melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil
Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj
Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia’.
Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan
jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab
menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya menara itu memerlukan
‘lightweight steel structure’ untuk menyokong jam gergasi itu, dan di
sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari
syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk
menyempurnakan tanggungjawab itu.
Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier
Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari
Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang
memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini
untuk mengerjakan haji dan umrah.
“Ia tiga kali lebih besar daripada
Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan
pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara
pada tahun 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart,
Jerman.
Nazri bersama beberapa jurutera Premier
Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang
menikmati teh tarik di Restoran Felda D’saji di Safwa Tower berhampiran
Masjidil Haram di sini.
Katanya beliau amat berbangga dapat
menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah,
apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang
dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh
lagi, di tengah kota di tanah suci itu.
Jam gergasi yang dihias replika bulan
sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada
waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada
dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan
berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada
waktu malam.
Selain itu 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.
Nazri berkata menara jam yang dilaporkan
bernilai US$3 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari
tahun depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan
Binladin pada bulan Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar dari Premier
Composite Technology berada di sini bagi memantau dan menyelia
kerja-kerja akhir pembinaan menara jam itu.
Sementara itu menceritakan pengalaman
kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata beliau mengambil masa
yang lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan
diberi peluang menerajui projek itu.

Beliau berkata bekerja dalam satu
kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata,
dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat
dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan
logam yang kukuh tetapi ringan itu.
Menurutnya beliau bersama kumpulan
rakan-rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di masjid
kedua paling mulia, Masjid Al-Nabawi di Madinah, dan juga kubah di
Masjid Putrajaya.
Armazizul berkata antara cabaran besar
yang dihadapi beliau bersama rakannya dalam melaksanakan tugas-tugas
mereka di negara orang adalah daripada segi komunikasi, apabila mereka
terpaksa menggunakan khidmat tenaga kerja dari negara-negara seperti
Bangladesh yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
![]() |
Pemandangan yang dapat di lihat dari Menara ABjraj Al-Bait |