Pages

Monday, 31 December 2012

Ibu kanak-kanak ditetak trauma

Ibu kanak-kanak ditetak trauma
Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling memperkatakan sesuatu kepada Mohd Khizwani (kiri).
.

Seorang pengurus asrama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau menerima enam jahitan di kepala apabila cedera ketika ingin cuba meleraikan insiden itu.

Ibu kepada kanak-kanak yang maut ditetak ibu saudaranya kini mengalami trauma dan sedang mendapat rawatan di Hospital Kulim berikutan kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

Faizah Idris, 30, masih dalam keadaan lemah dan tidak mampu bercakap.

Namun begitu, Faizah dibenarkan pulang ke rumah semalam bagi membolehkannya untuk turut sama dalam majlis pengebumian anaknya, Mohd Muaz Mohd Khizwani, 3 tahun itu.

Difahamkan, Faizah hanya terbaring akibat trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku tersebut.

Darah sampai sampai siling

Ayah kepada Faizah, Idris Kamis Hanafi, 70, berkata, dia terdengar bunyi riuh rendah dan jeritan di luar rumah semasa kejadian.

Dia yang baru pulang dari menoreh getah itu terkejut setelah melihat Faizah dalam keadaan berdarah dan sedang meleraikan kejadian itu.

Menurutnya, dia terus memegang suspek bagi mengelakkan kejadian lebih buruk sementara menunggu bantuan dari keluarga lain.

“Hancur luluh hati saya apabila melihat Muadz dalam keadaan terkulai di beranda rumah, darah di merata tempat sehingga sampai ke siling,” katanya yang masih bersedih.

Kejadian luar jangkaan

Suami Faizah, Mohd Khizwani Kasbi, 36, berkata, kejadian itu di luar jangkaan kerana kakak iparnya itu tidak pernah bertindak agresif sebelum ini.

“Walaupun dia (kakak ipar) ada masalah mental, dia tidak pernah mengganggu sesiapa. Selalunya, dia hanya bercakap seorang diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang kanak-kanak maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat ditetak oleh ibu saudaranya di kediaman neneknya di Kampung Kejai, Mukim Tawar.

Mangsa, Mohd Muadz mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, leher dan tangan setelah ditetak sebanyak enam kali.

Mohd Khizwani yang bekerja di bahagian keselamatan di UiTM Perlis berkata, Muadz seorang yang periang walaupun demam sejak beberapa hari lalu sebelum kejadian.

“Ketika itu saya masih di Perlis kerana bekerja, hanya isteri yang pulang ke kampung untuk mendapatkan rawatan tradisional untuk Muadz

“Saya memang tidak menyangka kejadian itu akan berlaku kepadanya. Namun, saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya.

Mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Kejai kira-kira jam 9 pagi, semalam.

JKM beri khidmat kaunseling

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling, Nazatul Iffah Abdullah berkata, pihaknya telah melawat keadaan keluarga mangsa.

Menurutnya, JKM akan menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa yang kini berada dalam keadaan trauma.

“Setakat ini, biarlah ibu mangsa mendapatkan rawatan dan berehat terlebih dahulu sebelum mendapatkan khidmat kaunseling ini,” katanya.

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment