Pages

Friday 28 June 2019

Sarawak umpama gadis cantik rebutan ramai

Abang Johari melancarkan buku Bandarsah Gemilang di Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran PASBK pada Rabu. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak umpama anak dara cantik yang menjadi kegilaan dan rebutan ramai pemuda, kias Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Meskipun tidak menyebut secara spesifik, beliau jelas cuba mengaitkan situasi politik masa kini yang menunjukkan keinginan Pakatan Harapan (PH) berusaha untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Negeri kita merupakan negeri aman damai. Kita mempunyai kekuatan dan sumber tersendiri. Malah ekonomi kita juga diurus dengan bijak.


"Oleh itu, negeri kita menjadi rebutan ramai," katanya berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di sini, pada malam Rabu.

Justeru, beliau menyeru agar perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama terus dipertahankan agar Sarawak terus membangun.

Malah beliau turut mengaitkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang berpesan agar menjaga Sarawak sehabis baik.

Mengenai perkara lain, Abang Johari berkata Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan merasmikan pameran keringkam di Sarawak dalam tempoh dua minggu lagi.

Isterinya, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang tidak hadir ke majlis itu kerana berada di Kuala Lumpur bagi menguruskan majlis perasmian itu.


"Kain ini merupakan kebanggaan wanita Sarawak, malah ia diminati oleh Raja Permaisuri Agong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari berharap agar Dewan Kesenian PASBK akan siap dalam masa setahun dua lagi.

Dewan berkenaan akan dijadikan sebagai pusat aktiviti atau hub perkembangan kesenian dan pusat pembangunan seni anak-anak Kampung Bandarsah, selain menjadi pusat rujukan Kesenian Melayu Sarawak serta menjadi pusat pengumpulan bahan dan artifak kesenian Melayu.

Beliau turut melancarkan buku Bandarsah Gemilang.

Karya Saiee Dris itu merupakan inisiatif PASBK dalam mengumpul data dan maklumat-maklumat mengenai mereka yang berasal dari Bandarsah yang telah berjaya dalam semua bidang termasuklah politik, perniagaan, pendidikan, sukan dan kebudayaan.

Antara tokoh terkemuka kelahiran Bandarsah ialah Adenan dan Abang Johari.

Program anjuran PASBK kali ini dihadiri seramai 700 tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil masjid, surau, persatuan-persatuan dan kampung-kampung sekitar kawasan Satok.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment