Pages

Tuesday 12 March 2019

Kerajaan Sarawak sedia bekerjasama dengan kerajaan PH



SPAOH: Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Beliau berkata ia adalah untuk kepentingan keseluruhan pembangunan dan kemajuan Sarawak.

“Tetapi jika dasar mereka buruk bagi kami, kami akan menolak,” katanya ketika ditemui pada Sesi Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Komuniti Spaoh yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Micheal Manyin dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari menambah lagi, Sarawak adalah sebuah negeri yang diperintah pemimpin dan parti tempatan.

“Dengan cara ini kita dapat melaksanakan dasar pembangunan dan perancangan kita dengan gangguan minimum sebagaimana yang kita lalui dahulu dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ini kerana dasar kerajaan GPS sentiasa memberi keutamaan kepada Sarawak dan rakyatnya.

Sementara itu Abang Johari memberi jaminan bahawa beliau akan menunaikan semua janji yang telah dibuat.

“Saya bukan pembohong, berbohong adalah dosa dan saya tidak mahu dipersoalkan atas janji-janji yang tidak ditunaikan atau berbohong semasa hidup.

“Berikan masa untuk kami laksanakan kerana mana-mana projek pembangunan besar perlu perancangan yang teliti sebelum dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Mengenai lawatan dua harinya ke bahagian Betong, beliau berkata ia adalah untuk melihat masalah di kawasan tersebut dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau menambah bahawa bahagian tersebut mempunyai potensi besar untuk pertanian moden.

Kerajaan katanya, akan membangunkan semua prasarana yang diperlukan.

Ini termasuk sebuah lapangan terbang berhampiran Spaoh dan meningkatkan infrastruktur digital di mana 39 menara telekomunikasi akan dibina untuk sambungan yang lebih baik.

Pada majlis itu, Abang Johari mengumumkan kelulusan beberapa projek untuk Spaoh.

Ia termasuk Kompleks Sukan bernilai RM14 juta, projek pengindahan Tebingan Sungai Spaoh bernilai RM6.4 juta, sebuah pejabat sub-kawasan baharu bernilai RM4.6 juta, sebuah jambatan keluli baharu yang menyeberangi Sungai Paku yang berharga RM5.7 juta dan Jalan Surie -Turie bernilai RM35 juta.

Selepas itu, Abang Johari melawat Luban Ulu dekat sini di mana beliau menyempurnakan upacara pecah tanah untuk menara telekomunikasi.

Menara yang berharga kira-kira RM1 juta itu adalah projek Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak.

Bercakap pada majlis itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak merancang membina 300 menara tersebut di seluruh negeri tahun ini dengan kos RM1 bilion.

“Kemudian kita akan membina 300 lagi menara tersebut tahun depan.

“Inilah usaha kami untuk mengubah keadaan di mana kami menekankan pengurusan digital dan ekonomi digital,” katanya.

sumber :UB
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment