Pages

Friday 2 February 2018

Kes Kematian JE pertama tahun 2018 di Sarawak


Seorang pemuda dari Kota Samarahan menjadi korban pertama penyakit Japanese Encephalitis (JE) bagi 2018 dilaporkan berlaku awal tahun ini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Jamilah Hashim yang memberitahu, bagi tempoh 1 hingga 30 Januari tahun ini, sebanyak dua kes dilaporkan di negeri ini iaitu masing-masing di Lawas dan Kota Samarahan.

Daripada jumlah itu, jelasnya, satu kes melibatkan kematian pertama bagi tahun ini dicatatkan melibatkan kes di Kota Samarahan membabitkan seorang pesakit lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Tanjung Bundong yang disahkan menghidapi JE awal Januari lalu.

Mangsa menghembus nafas terakhir pada 19 Januari lalu selepas bertarung nyawa di HospitalUmum Sarawak disebabkan penyakit tersebut."Setakat ini terdapat dua kes JE dilaporkan di negeri ini iaitu melibatkan kawasan Lawas dan Kota Samarahan yang mana satu kes kematian yang pertama bagi 2018."Manakala, bagi tahun 2017 terdapat satu kes kematian dilaporkan, namun bagi keseluruhan Sarawak, terdapat penurunan kes JE dicatatkan bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 20 kes (2015) ke 13 kes (2016) dan 10 Kes (2017)," katanya ketika dihubungi.

Dr Jamilah menjelaskan untuk status kawasan liputan jangkitan JE di Taman Malihah, Matang, yang dilaporkan pada akhir 2017 lepas, aktiviti suntikan vaksin bagi pencegahan di kalangan komuniti masih lagi diteruskan oleh JKNS.

Malah, tambahnya lagi, aktiviti yang sama turut dilaksanakan terhadap komuniti di kawasan liputan Tanjung Bundong, Kota Samarahan (bagi kes dilaporkan pada awal Januari 2018). "Manakala, bagi kes jangkitan JE di Long Sukang, Lawas, aktiviti kajian populasi sedang giat dilaksanakan untuk mengenal pasti penduduk yang layak untuk suntikan vaksin JE," jelasnya.

sumber utusan borneo
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment