LIMBANG: Seorang kanak-kanak lelaki mati dipercayai akibat didera dalam kejadian di sebuah kampung di sini, petang kelmarin.
Mangsa, 5, yang mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan selain berdarah di bahagian dubur, terdahulu dibawa ibu tirinya ke Hospital Limbang pada jam 8 malam kelmarin, namun hasil pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Difahamkan, ibu tiri mangsa mendakwa kanak-kanak itu cedera akibat terjatuh dan terbaring ketika bermain di bilik air.
Hasil pemeriksaan pihak hospital bagaimanapun meragui dakwaan itu berdasarkan keadaan fizikal mangsa, justeru memaklumkan pihak polis.
Ibu tiri mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Pusat Limbang sekitar jam 9 malam kelmarin selepas mengetahui mangsa sudah meninggal dunia.
Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Limbang pada jam 11 malam kelmarin dan akan dibedah siasat Ahad ini di Hospital Miri.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut, namun enggan mengulas lanjut. Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut. Belum ada tangkapan dibuat sementara menunggu keputusan bedah siasat.