Dalam mengupas kisah di sebalik 22 Julai 1963, maklumat yang diperoleh dari Pusat Sejarah Rakyat (PSR) mungkin dapat membantu. Pusat Sejarah Rakyat merupakan sebuah pertubuhan yang bebas, tidak berkeuntungan, profesional yang mempunyai polisi dan prinsip tersendiri,
PSR turut memuat naik gambar keratan akhbar sebagai bukti mengenai pengkisahan tarikh 22 Julai 1963.
Pada 22 Julai 1963, Gabenor British di Sarawak yang terakhir, Sir Alexander Waddell meletakkan jawatan dan menamatkan pentadbiran kerajaan British di Sarawak. Beliau telah melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama, selepas parti beliau, Parti Perikatan Sarawak telah memenangi Pilihanraya Sarawak yang pertama pada 24 Jun 1963.
Gabenor penjajah telah turut sama melantik menteri-menteri kabinet negeri Sarawak, termasuk Taib Mahmud (berumur 27 tahun) yang telah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak. Sarawak sebenarnya tidak diberikan kemerdekaan ataupun hak berkerajaan sendiri (self-government) pada tarikh 22 Julai 1963 seperti yang dilaporkan dalam media massa hari ini.
Sebaliknya, status berkerajaan sendiri dan tarikh sambutan kemerdekaan Sarawak yang pertama telah disambut pada 31 Ogos 1963.
Akhbar The Straits Times bertarikh 24 Ogos 1963 telah melaporkan kenyataan dari Gabenor penjajah Sarawak, Sir Alexander Waddell yang berkata, “Sarawak has been looking forward confidently and with satisfaction to obtaining independence on August 31”. The Straits Times bertarikh 1 September 1963 telah melaporkan sambutan hari kemerdekaan Sarawak yang pertama pada 31 Ogos 1963 dengan laporan, “In Kuching, de facto self-government for Sarawak was today celebrated very quietly.”
Tarikh ini turut sama dikongsi dengan Sabah yang turut sama meraikan sambutan kemerdekaan mereka pada 31 Ogos 1963. Laporan media massa yang menyebut bahawa, "Pada 22 Julai 1963, gabenor terakhir kerajaan British Sir Alexander Waddell meninggalkan Astana dan menaiki sebuah sampan putih untuk menyeberangi Sungai Sarawak bagi menyerahkan kerajaan Sarawak kepada rakyatnya” adalah tidak tepat.
Taraf berpemerintahan sendiri ini ialah setaraf dengan negeri-negeri naungan British yang lainnya kerana Sir Alexander Waddell masih lagi menjawat jawatan Gabenor sehingga 15 September 1963.
Tarikh sebenar peristiwa menaiki sampan tersebut adalah pada 15 September 1963, satu hari sebelum tarikh penubuhan Malaysia, seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Straits Times bertarikh 16 dan 17 September 1963.
Buktinya dinyatakan daripada sumber keratan akhbar Berita Harian (22 Julai 1963), akhbar The Straits Times, (24 Ogos 1963, 1 September 1963, 16 September 1963, 17 September 1963). [Rujuk gambar di bawah]
Bukti berita mengenai peristiwa menaiki sampan oleh Gabenor terakhir British di Sarawak.
Sumber: Pusat Sejarah Rakyat
Berita Minggu bertarikh 1 September 1963 turut sama melaporkan tentang sambutan hari kemerdekaan Sarawak yang pertama pada 31 Ogos 1963, dan bukannya pada 22 Julai 1963.
"Kuching, Sabtu, 31 Ogos 1963 — Sarawak telah menyambut taraf berkerajaan sendiri "de facto-nya" sebagai sebuah negeri baharu hari ini secara sederhana sahaja.
"Di Kuching, orang ramai telah mengambil kesempatan hari cuti hari ini dengan bertumpu ke kebun-kebun bunga dan ke tebing-tebing sungai sehingga jalan-jalan dalam bandar sunyi sahaja.
"Tembak meriam 21 das pada tengah malam telah menandakan penyerahan kuasa kepada Menteri-menteri Kerajaan Sarawak yang dipilih oleh rakyat sungguhpun Ketua Menteri Tuan Stephen Kalong Ningkan telah menjalankan tugas-tugasnya selama beberapa hari." Sumber: Akhbar Berita Minggu (1 September 1963).
Akhbar dari Sarawak, The Borneo Times turut melaporkan.Dalam akhbar itu yang bertarikh 3 September 1963 menyatakan,
"On Aug. 31 self-government, with evident British approval, was proclaimed in Sarawak and North Borneo." Sumber: The Borneo Times, 3 September 1963
FAKTA LAIN MENGENAI 22 JULAI 1963
Dalam artikel dari laman web Jiwa Bakti, lidah rasmi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) turut mengupas mengenai fakta 22 Julai 1963.
Pada 22 Julai 1963 Gabenor Sir Alexander Waddell telah mengisytiharkan, mencetak dan menerbitkan The Sarawak Government Gazette Extraordinary Part V yang mencetak dua notis di bawah kuasa Sarawak (Constitution) Orders in Council 1956 to 1963.
Notis pertama No. 1167 mengisytiharkan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri. Notis kedua, No. 1168 pula mengisytiharkan ahli Supreme Council baharu yang terdiri daripada Teo Kui Seng, James Wong Kim Min, Abdul Taib Mahmud, Awang Hipni Pengiran Annu, Dustan Endawi anak Enchana.
Semua mereka telah menerima watikah perlantikan daripada gabenor pada hari tersebut juga dan dengan itu terbentuk kabinet yang pertama. Sebagai sebuah tanah jajahan Great Britain, pentadbiran dalam negeri dan hubungan luar negara dipegang oleh Raja Great Briatin dan seorang Gabenor sebagai wakil baginda di Sarawak.
Kuasa-kuasa ini terkandung dalam section 4 of the Sarawak (Constitution) Orders in Council 1956 to 1963. Di dalam perlembagaan ini dinyatakan kuasa tertinggi adalah Raja Great Britain “the Governor, acting in his discretion, by Instrument under the Public Seal or by Her Majesty through the a Secretary of State…”. Walaupun telah diadakan pilihan raya dan kabinet negeri, namun kuasa mutlak masih dipegang oleh Raja Great Britain, sebuah negara asing. Apabila kuasa untuk menentukan dasar dan pentadbiran sesebuah negeri masih berada dalam tangan orang asing maka negeri itu kekal menjadi sebuah tanah jajahan yang tidak menikmati erti negara yang merdeka.
Dengan yang demikian Sarawak pada 22 Julai 1963 masih sebuah tanah jajahan yang baharu sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri.
Jika 22 Julai 1963 merupakan tarikh Sarawak mencapai kemerdekaan sudah pasti satu perisytiharaan diwartakan dan satu perayaan besar-besaran dianjurkan di seluruh negeri Sarawak.
Akhbar Sarawak Tribune bertarikh 23 Julai 1963 tidak menyebut tentang kemerdekaan pada 22 Julai 1963. Tajuk berita yang disiarkan pada halaman depan akhbar itu adalah seperti berikut: “Ningkan Appointed Chief Minister New Supreme Council”. Penyelidikan ini yang telah merujuk kepada dokumen-dokumen rasmi, akhbar-akhbar Sarawak dan gambar-gambar adalah bukti kuat dan jelas bahawa pada 22 Julai 1963, Sarawak belum merdeka lagi.
Kesimpulannya, 22 Julai 1963 merupakan tarikh permulaan Sarawak berkerajaan sendiri tetapi bukan tarikh kemerdekaan.