KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mempertahankan pendirian akan membatalkan permit kerja petugas Petronas dari luar negeri ini sekiranya arahan moratorium yang dilaksanakan pada masa ini gagal.
Beliau berkata, anak-anak Sarawak sendiri akan mengambil alih tugas itu jika Petronas masih berdegil dengan memberhentikan anak Sarawak yang menjadi kakitangan syarikat itu dan menggantikannya dengan petugas dari luar Sarawak.
“Sekarang kita sedang membekukan permit kakitangan Petronas dari luar Sarawak dan kita sentiasa mahukan rakyat Sarawak diberikan keutamaan. Dan jika anda gagal berbuat demikian, kami akan bekukan permit kerja anda (Petronas).
“Langkah seterusnya, kalau itu juga tidak berhasil, kita akan membatalkan permit kerja yang telah diberikan dan menggantikannya dengan rakyat negeri (Sarawak) kita sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Anak-Anak Sarawak bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di Johor Baharu, malam kelmarin.
“Kita tidak akan melaksanakannya semua sekali, tetapi ia adalah secara berperingkat-peringkat dan selain itu, kita tetap mahukan royalti Sarawak dinaikkan dari lima peratus kepada lebih dari lima peratus,” tegasnya.
Ketika ini kebanyakan sumber petroleum dan gas Petronas di negara datangnya dari Sarawak, terutamanya dari Miri dan Bintulu.
Difahamkan, kerajaan negeri diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani akan mengadakan pertemuan bersama Petronas bagi membincangkan amalan pengambilan dan pemberhentian kakitangan Petronas dari Sarawak.
Perkara tersebut timbul berikutan tindakan syarikat minyak dan gas utama itu sebelum ini memberhentikan sekurang-kurangnya 13 pekerja anak Sarawak ekoran penstrukturan semula syarikat tersebut, sekali gus memaksa Adenan untuk melaksanakan arahan moratorium terhadap permit kerja warga Petronas dari luar Sarawak serta-merta.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengambil peluang melahirkan ucapan tahniah kepada ratu terjun negara Pandelela Rinong atas kemenangan pingat perak yang diperolehinya pada Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.
“Dia (Pandelela) telah memenangi gangsa sebelum ini, dan baru-baru ini memenangi pingat perak dan saya berharap selepas ini beliau membawa pulang pingat emas dalam Olimpik.
“Kita sangat berbangga dengannya sebagai ‘Anak Sarawak’,” katanya.
Adenan berada di Johor selama sehari atas tugas rasmi, termasuk merasmikan penutupan Bengkel ‘High Performance Team’ penjawat kanan kerajaan negeri Sarawak, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.
Turut mengiringi beliau ialah tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Uggah dan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Persatuan Borneo Johor Donny Linan.