TIGA pelajar universiti awam tempatan berdepan hukuman gantung selepas ditangkap memiliki dadah jenis ganja seberat 367 gram di Kota Samarahan malam jumaat lepas.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, Superitendant Lukas Aket dalam tangkapan melibatkan dua lelaki dan seorang perempuan berumur antara 20 dan 23 tahun.
“Turut dirampas ialah 12 bungkusan plastik yang mengandungi ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja yang bernilai RM2 ribu.
“Oleh kerana kuantitinya, kita mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Lukas berkata, penangkapan ini merupakan kejayaan kali ketiga melibatkan penuntut universiti di negeri ini, setelah dua kes terdahulu melibatkan pelajar dari negara asing.
Katanya, siasatan lanjut turut mendapati dua suspek lelaki tersebut positif dadah jenis amphetamine selain mula terjebak sejak tahun 2015.
“Kesemua mereka kini sedang menjalani perintah tahanan reman sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.
Kata Lukas, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti pihak yang membekalkan dadah kepada para penuntut ini.
“Dan kita akan mengambil tindakan terhadap mereka selepas ini.
Berkaitan penglibatan penuntut institut pengajian tinggi dalam kes-kes seumpama ini, Lukas meminta ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak.
“Bagi pihak kita, kita sentiasa melakukan pemantauan dan pemerhatian di semua pusat pengajian tinggi selain beberapa kawasan lain dan tidak akan teragak-agak untuk menangkap mereka, jika telah terbukti bersalah,” katanya.
Ditanya situasi penagihan yang membabitkan pelajar dan penuntut universiti, Lukas berkata, keadaannya masih dalam keadaan terkawal.