Pages

Sunday 13 May 2018

Riot janji terus setia bersama BN


SERIAN: Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem berjanji terus setia bersama Barisan Nasional (BN) menerusi komponennya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), walaupun beliau kini wakil rakyat tunggal dari parti itu.

Riot yang juga Timbalan Presiden SUPP, menegaskan beliau tidak akan meninggalkan parti itu selepas ia terus ditolak terutama kalangan pengundi Cina yang beralih sokongan kepada DAP.

"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang tetapi saya akan tetap berdiri bersama-sama dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
  
"Kami akan berjuang bersama dan meneruskan perjuangan demi Sarawak dalam satu pasukan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Riot berkata walaupun kedudukannya kini bukan lagi sebagai seorang menteri, namun ia tidak akan membataskannya untuk berkhidmat khususnya di Parlimen Serian kerana kerajaan negeri masih di bawah pimpinan BN.

"Kita menang dalam pertempuran tetapi kalah dalam peperangan. Saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Serian kerana kemenangan kita di sini tidak mampu mengubah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Riot yang juga bekas Menteri Sumber Manusia menang dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 9,905 undi.

Beliau menjadi wakil rakyat di Parlimen Serian pada 1990 sebagai calon Bebas sebelum menyertai SUPP tiga tahun selepas itu. Riot kemudiannya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Serian pada pilihan raya umum pada 1995 hingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Luar pada 2010 sebelum dilantik menjadi Menteri Sumber Manusia pada 2013.

Sumber : berita harian
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment