Pages

Monday 14 May 2018

PKR akan jadi parti politik terbesar ganti PBB di Sarawak



MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi parti politik terbesar menggantikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata majoriti Iban telah memberi sokongan kepada PKR sekali gus memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“PKR akan menjadi parti terbesar sekali gus menggantikan PBB, hari ini kita lihat ramai orang Iban datang memberi sokongan kepada PKR,” katanya di sini semalam.

Dr Teo tidak menolak kemungkinan keahlian PKR akan bertambah di seluruh Sarawak dengan melihat kepada trend semasa iaitu lompat parti.

Kelmarin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu) turut mengumumkan menyertai PKR.

“Kita sangat gembira kerana ramai masyarakat Dayak memberi sokongan kepada PKR dan kita sememangnya mengalu-alukan mereka menyertai PKR,” katanya.

Dr Teo baharu pulang selepas bertemu dengan Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan tertinggi PH di Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat Dayak di Sarawak mulai menyukai PKR dan akan menyertai parti politik itu secara berterusan dan berperingkatperingkat.

Sementara itu, lebih 100 penyokong PKR terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak mengucapkan tahniah kepada Dr Teo.

Beliau berkata, kehadiran mereka bukan untuk menunjukkan protes tetapi hanya mengucapkan tahniah kepadanya.

Pada PRU14, Dr Teo mengecapi kemenangan besar selepas memperoleh 35,739 undi selepas mengalahkan calon BN Datuk Sebastian Ting yang hanya mampu memperoleh 22,076 undi.

Pada PRU14 lalu, Dr Teo yang juga penyandang Parlimen Miri memperoleh majoriti 13,663 undi setelah 513 undi ditolak dan 111 undi tidak dikembalikan menjadikan majoriti kedua terbesar di negeri ini selepas Alice Lau (DAP) di Parlimen Lanang memperoleh majoriti 14,546 undi.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment