Pages

Tuesday 4 July 2017

MA 1963: Langkah Sarawak hantar peguam ke London bantu rungkai isu - TPM


Kerajaan pusat akan sentiasa bersedia menerima maklum balas hasil daripada kajian pasukan peguam dari Sarawak yang telah dihantar ke London bagi meneliti semula dokumen-dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut dapat membantu merungkaikan sebarang isu yang menjadi pertikaian berhubung perjanjian itu.

Katanya, menjadi hak kerajaan Sarawak, mahupun Sabah, untuk melihat kepada aspek perundangan dan persefahaman sosial sepertimana yang termaktub di dalam perjanjian berkenaan.

Berikutan itu, katanya, kerajaan pusat semestinya akan sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada mengenai apa sahaja keputusan atau maklum balas yang bakal diperolehi.

"Kami di peringkat persekutuan berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima semua maklum balas yang akan diperolehi oleh kerajaan negeri Sarawak melalui usaha yang dilakukan.

"Dan, tidak ada isu yang tidak boleh dirungkai dan diselesaikan," katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan mesra sempena Gawai dan Hari Raya di kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Douglas Uggah di Taman BDC, Stampin, Kuching hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendirian kerajaan pusat, sepertimana pernah dinyatakan sebelum ini oleh Perdana Menteri, kerajaan persekutuan akan terus membuka pintu untuk mengadakan perundingan bagi perkara-perkara yang boleh dirundingkan.

"Ini terutamanya apabila makluman diterima daripada beberapa dokumen, yang diperolehi dari penyelidikan, yang dibuat daripada pasukan petugas ini," katanya.

Pada Sabtu, Sarawak dilaporkan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung MA 1963 bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Ia juga katanya, sebagai meneruskan usaha bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment