Pages

Monday, 31 October 2016

Pesta Limau Bintangor 2016 mencatat sejarah


BINTANGOR: Pesta Limau Bintangor 2016 yang bermula 22 - 30 Oktober 2016 mencatat sejarah apabila jumlah pengunjung lebih ramai jika dibandingkan penganjuran sebelum ini.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata penganjuran kali keenam ini mencatat jumlah pengunjung di luar jangkaan selain setiap atur cara mendapat penyertaan memberangsangkan.

“Kemeriahan Pesta Limau tahun ini menyaksikan ramai pengunjung dari dalam dan luar terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

“Sasaran penganjur pesta kali ini mencapai sasaran dan objektifnya mahu masyarakat di kawasan ini terlibat secara tidak langsung khususnya dalam aktiviti perniagaan yang ternyata memberi pendapatan lumayan,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Limau Bintangor di sini semalam.

Pelbagai acara diadakan sepanjang pesta itu dan yang paling meriah ialah Pesta Air menyaksikan lebih 2,000 orang pengunjung hadir.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, Pesta Limau Bintangor juga menjadi landasan utama mempromosikan produk makanan dan sumber pertanian di kawasan ini yang terkenal dengan hasil buah-buahan.


Katanya dengan aktiviti seperti itu, segala bentuk produk yang dihasilkan di kawasan ini berjaya diketengahkan kepada masyarakat luar untuk dipromosikan.

“Pada penganjuran pada masa akan datang, kita berusaha mencari dana dan menambah peruntukan agar lebih banyak aktiviti dianjurkan.

“Kita harap penganjuran masa akan datang semua pihak dapat memberi sokongan agar penganjuran memberi manfaat positif kepada semua pihak,” katanya.

Abdullah turut menyampaikan sumbangan tambahan RM5,000 untuk penganjuran Pesta Limau bagi acara Pesta Air yang turut disertai peserta dari Brunei, Bintulu, Kuching, Kanowit dan lain-lain.

Sementara itu, ADUN Meradong Ding Kuong Hiing dan ADUN Meluan Rolland Duat Jubin turut menyampaikan sumbangan tambahan Pesta Air Bintangor sejumlah RM5,000 seorang.

Hadir sama Pegawai Daerah Meradong Mastapa Julaihi serta beberapa ketua jabatan kerajaan yang lain.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment