9 Mac 2016 akan menyaksikan sebuah lagi fenomena Gerhana Matahari yang akan melintasi sebahagian besar Asia Tenggara (termasuk Malaysia) dan bagi rakan-rakan kita di Indonesia, mereka berpeluang menyaksikan Fasa Gerhana Matahari Penuh, yang mana matahari akan hilang dari pandangan buat beberapa minit dan kemudian muncul kembali, semuanya dalam keadaan ‘tiba-tiba’ atau ‘mengejut’.
Maka untuk siri kedua artikel-artikel berkaitan Gerhana Matahari Penuh 2016 ini, saya kemukakan beberapa persoalan berikut yang mungkin boleh membantu anda mencongak sejauh mana persediaan anda setakat ini!
Adakah anda sudah memilih lokasi pilihan nanti? Adakah anda akan mencerapnya dari Malaysia sahaja? Atau adakah anda sudah memilih lokasi yang terbaik di Indonesia?
Jika anda mencerap di Malaysia, anda hanya akan dapat menyaksikan fasa gerhana matahari separa sahaja. Langit tidak akan gelap, dan anda wajib menggunakan cermin mata khas atau penapis matahari untuk melihat fasa gerhana tersebut.
Jika anda mencerap di Indonesia, anda berpeluang menyaksikan gerhana ini dalam fasa penuh. Langit akan menjadi gelap seketika seperti sekitar waktu antara maghrib dan Isya. Ketika itu kita boleh lihat dengan mata tanpa perlukan apa-apa penapis matahari.