![]() |
Mangsa culik, Thien Nyuk Fun. |
Dalam kejadian semalam pada jam 7.50 malam, Seorang lelaki warga Sarawak dan seorang lagi wanita warga tempatan telah diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, Sandakan.
Thien Nyuk Fun, wanita berusia 50 tahun dan pelancong dari Sarawak berumur 39 tahun, dilarikan sekumpulan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan M16 dengan dua lagi suspek menunggu di bot.
Thien Nyuk Fun merupakan adik ipar kepada pemilik restoran berkenaan berada di kaunter, manakala lelaki terbabit berada di meja makan bersama isteri dan seorang rakannya.
Difahamkan, kumpulan bersenjata terbabit muncul secara tiba-tiba dari arah laut dan hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan kedua-dua mangsa dengan sebuah bot laju. Mereka kemudian dilihat melarikan diri ke arah perairan antarabangsa, dipercayai menghala ke negara jiran.
Chung Yun Thiam, 60, Pengurus restoran berkata, ketika kejadian ada kira-kira 80 pelanggan sedang menikmati makan malam. Semua lelaki terbabit memakai pakaian celoreng tetapi tidak bertopeng dengan seorang daripadanya membawa raifal M16 dan peluru disangkut pada badannya.
"Menyedari kehadiran empat lelaki bersenjata itu, semua pelanggan lari untuk menyelamatkan diri, namun mangsa wanita dan lelaki berkenaan tidak sempat lari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kes masih dalam siasatan pihak Polis.