Pages

Monday, 18 May 2015

Sebauh jadi daerah penuh mulai 1 Ogos 2015: Jabu



BINTULU: Daerah kecil Sebauh di bahagian ini akan diangkat menjadi daerah penuh bersama lapan lagi daerah kecil lain di negeri ini berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Jelasnya, lapan lagi daerah yang lainnnya termasuk Beluru, Telang Usan, Subis, Bukit Mabong, Tanjung Manis, Kabong, Pusa dan Tebedu manakala Serian menjadi bahagian Serian secara rasminya berkuat kuasa tarikh sama.

“Apabila sembilan daerah kecil berkenaan menjadi daerah penuh, ia melayakkannya mempunyai seorang pegawai daerah dengan dibantu pegawai tadbir dilengkapi kemudahanlebih baik pada masa depan,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai 2015 Peringkat Daerah Kecil Sebauh di Balai Raya Sebauh, malam kelmarin (Sabtu).

Jelasnya, pengiktirafan Sebauh sebagai daerah penuh turut menyaksikan proses perubahan serta pembesaran dari segi carta organisasi pejabat daerah sedia ada termasuk jabatan kerajaan lain.
“Kerajan akan meelakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa setaraf dengan daerah terdahulu yang sudah diangkat menjadi daerah penuh,” katanya.

Kata Jabu, naik taraf itu juga tepat pada masanya dan beliau menaruh keyakinan tinggi sebagai daerah penuh kelak, Sebauh akan bergerak pantas melangkah ke paradigma pembangunan dalam tempoh sepuluh tahun ini.

“Pembangunan pesat dinikmati masyarakat di Sebauh selama ini sememangnya hasil kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang berjaya menjalankan tugas dengan penuh komited bagi merealisasikan impian Sebauh menjadi daerah penuh,” katanya.

Menurut Jabu, jika dilihat dari segi sejarah, Sebauh berada di konstituensi DUN N.60 Kemena yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak dari kepimpinan ADUN pertamanya iaitu Datuk Seri Temenggung Abok Jalin yang kemudiannya digantikan Tan Sri Celestine Ujang Jilan seterusnya Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berharap rakyat di kawasan N.60 Kemena meneruskan sokongan kuat terhadap kepimpinan BN bagi memastikan pembangunan berterusan disalurkan sekali gus menjadikannya sebagai daerah maju pada masa depan.
“Pada masa sama, kerajaan telah merangka pelan pembangunan yang cukup efektif bagi membangunkan kawasan Kemena dengan mewujudkan kemudahan feri bagi menghubungkan bandar Bintulu, pekan Sebauh dan Ulu Sebauh termasuk kawasan Pandan, Binyo, Tubau dan Jelalong serta kawasan berdekatan lainnya yang dilaksana secara berperingkat-peringkat,” jelasnya.

Buat masa sekarang katanya, kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan bantuan jabatan kerajaan lain sedang dalam proses menyiapkan kemudahan elektrik dan air di kawasan Sebauh bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman menikmati kemudahan asas yang mereka nantikan selama ini.

Terdahulu, Rundi melahirkan rasa bangga serta terima kasih terhadap kerajaan negeri yang menjadikan Sebauh sebagai daerah penuh bersama lapan lagi daerah kecil lain.

Semua ini katanya, jelas membuktikan bahawa masyarakat di Sebauh tidak pernah dipinggirkan daripada aspek pembangunan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak yang secara lantang mengatakan daerah ini ketinggalan daripada aspek prasarana dan infrastruktur.

“Sebauh telah mengalami proses pembangunan pesat malah jauh lebih pantas daripada yang kita andaikan selama ini kerana berjaya melalu proses berterusan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Pada majlis sama, Jabu turut mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM20,000 buat Jawatankuasa Aktiviti Sosial Sebauh (JKAS) bagi kegunaan jawatankuasa menjalankan program tahunan mereka.

Pada malam itu, turut diadakan acara penyampaian insentif bagi pelajar Dayak cemerlang 2014, pertandingan Kumang Gawai 2015 di samping persembahan nyanyian daripada penyanyi undangan khas iaitu Andy Hadrian Mamong dan Magdeline Minggu.

Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari, ahli perniagaan Tan Sri Yee Ming Seng, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Keselamatan, Pentadbiran dan Hal Ehwal Korporat) Ose Murang, Temenggung Utong Sigan, Penghulu Lanyau Ruma dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Jenny Bangga antara yang hadir.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment