Pages

Friday, 15 May 2015

GST Kad Pra Bayar : Rakyat ditipu lagi



Keputusan kerajaan memperkenalkan formula beli RM10 dapat RM10 untuk kad tambah nilai prabayar telefon bimbit yang dibeli tetapi terpaksa membayar cukai barang dan barangan (GST) apabila membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mendapat reaksi negatif daripada pengguna.

Formula membayar cukai secara sembunyi itu seakan-akan menafikan hak pengguna dan rata-rata pengguna di laman sosial meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan langkah kerajaan itu kerana merasakan tertipu.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Muhammad Fathi Faruq berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu menunjukkan keuntungan syarikat telekomunikasi (telco) lebih diutamakan berbanding kebajikan pengguna.

“Satu lagi contoh kerajaan mempermain-mainkan pengguna. Kenapa tidak menyatakan secara terperinci yang setiap panggilan dan SMS akan dikenakan GST? Jadi, apa sebenarnya yang kerajaan lakukan,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, menerusi formula baharu itu, GST hanya dikenakan apabila nilai prabayar tersebut digunakan.

Katanya, tempoh enam bulan itu diperlukan bagi memberi peluang kepada telco terbabit mengkonfigurasi sistem sedia ada.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, N. Nahtnanabban dengan sinis memuji tindakan kerajaan mengambil keputusan tersebut namun mempersoalkan mengapa GST dikenakan untuk setiap panggilan dan SMS.

“Setiap panggilan akan dikenakan GST. Tindakan yang bijak,” katanya.

Dalam pada itu, Mokhtar Abd. Wahab yang kecewa dengan keputusan tersebut berkata, dalam tempoh enam bulan tersebut, telco akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Dalam masa enam bulan, telco akan untung berjuta-juta ringgit. Saya kecewa dengan keputusan itu,” katanya.

Kenyataan itu disokong oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Muhamad Yusry yang juga mempersoalkan mengapa tindakan tersebut hanya akan dilaksana pada hujung tahun ini.

“Persoalannya, mengapa sampai enam bulan? Adakah telco perlu menukar satelit sehingga mengambil masa yang lama?,” katanya.

Nadd Niza pula meminta pihak kerajaan bersikap telus dan memberi penjelasan mengapa tindakan tersebut diambil.

“Tolong lebih telus. Rakyat ingin tahu mengapa kerajaan bersetuju dengan keputusan itu,” katanya.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment