
Antaranya ialah enam artis Malaysia yang menerima pingat Seri Pengiran Diraja Sulu (SPDS) yang membawa gelaran Datuk Seri Pengiran iaitu kepada penyanyi 1960-an Jeffrey Din dan L Ramli, pelakon Mat Sentul dan penyanyi popular 1980-an, Azizul Khamis, Sheqal dan Salwa Abdul Rahman.
Mantan isteri penyanyi Nash Lefthanded, Sosilawati Lawiya yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage didakwa menerima Pingat Paduka Diraja Sulu (PPDK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.
Seorang lelaki yang mendakwa sebagai Setiausaha Eksekutif dan Penyimpan Mohor Besar Diraja Sultan Sulu dan Borneo Utara, Putra Eddy T Sulaiman, mendakwa anugerah berkenaan diberikan berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang hiburan.
Beliau mendakwa, setiap penerima anugerah itu diberikan kad pengenalan khas yang membuktikan pengurniaan darjah kebesaran Kesultanan Sulu dan pemilihan penerima pingat itu dibuat secara teliti oleh jawatankuasa khas berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

Mungkin meniru idea sebuah negeri yang mengurniakan pingat ‘Datuk’ kepada seorang pelakon antarabangsa atas alasan ia dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri tersebut.
Apa yang menambahkan panas kepada berita tersebut adalah apabila seorang lelaki yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Datu Mudarasulail Kiram, mengatakan terdapat pihak tertentu yang menyebarkan risalah mengenai penganjuran ‘Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Kesultanan Sulu’ dan disertakan dengan borang permohonan untuk memiliki darjah kebesaran tersebut lengkap dengan senarai harga bagi setiap anugerah.
Penganjur majlis berkenaan didakwa menetapkan ‘harga’ bagi bayaran darjah Datuk Seri Panglima Diraja Sulu (SPDS) adalah RM220,000, selain Datuk Bendahara Diraja Sulu (DBDS) (RM150,000), Datuk Paduka Diraja Sulu (DPDS) (RM120,000), Datuk Pangeran Sultan Sulu (DPSS) (RM80,000) dan Datin Seri Sultan Sulu (DSSS) (RM80,000).