Pages

Tuesday, 24 January 2017

AMARAN TEGAS CM SARAWAK TERGHADAP KERAJAAN NAJIB !


"Menyedari kuasa saya sebagai ketua menteri kerajaan sarawak yang setaraf kuasa seseorang yang memegang jawatan perdana menteri dalam tampuk kepimpinan di kerajaan persekutuan,dan setelah meneliti,mengambil kira kepentingan suara rakyat bumi kenyalang hatta meneliti aspek kemunduran yang masih tiada perubahan sepanjang 53 tahun bergelar sebagai salah satu negara bersekutu dalam persekutuan Malaysia"dengan rasa penuh patriotik saya ketika ini sebagai anak jati sarawak,
di sini,hari ini saya dengan rasa berat hati namun atas dasar mengutamakan kebajikan anak bangsa sarawak,saya ingin memberi kata dua,yang mana jika sekiranya kepimpinan kerajaan pusat masih terus berdolak dalih dalam perlaksanaan serta enggan menghormati segala yang telah disepakati dan telah termeterai siap ditandatangani bersama dalam dokumen perjanjian Malaysia 1963 (MA63),
Maka,"Saya tiada lagi pilihan lain selain mahu bubarkan parti barisan nasional di bumi sarawak dan seterusnya akan menubuhkan kerajaan negara sarawak yang baru,dari kalangan parti-parti politik tempatan sarawak sendiri,yang akan memimpin serta bersama mengemudi kerajaan Sarawak dalam kabinet saya tanpa ada lagi campur tangan kuasa kerajaan dari luar sarawak yang menguasai kepimpinan saya,malah juga kepimpinan kerajaan generasi masa datang sarawak."

Hari ni juga Abang Johari Tun Abang Haji Openg Telah membuat Kenyataan yang sama seperti yang ditegaskan oleh Al marhum Tan Sri Adenan Satem iaitu bahasa english adalah muktamad sebagai bahasa rasmi pendidikan serta urusan rasmi kerajaan Sarawak,

tambah beliau,"bahasa english adalah bahasa Universal,yang di guna pakai untuk berhubung Di seluruh dunia,dan setiap negara mempelajari nya,justeru saya mahu melihat seluruh org di sarawak bertutur dalam bahasa english selepas ini."

Dan bagi menghormati jasa pengasas serta penubuh Sarawak iaitu Sir Rajah James Brooke yang malangnya telah dicatat di dalam buku pendidikan sejarah sebagai penjajah british,beliau melaungkan,"saya akan melakukan sesuatu berhubung banyak kesalahan fakta-fakta sejarah sebenar Sarawak yang telah diputar belit yang malah saya lihat semakin menjadi-jadi dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik di Malaysia ini sehingga sanggup untuk memperbodohkan anak bangsa Sarawak dengan momokan fakta sejarah putar alam."

OhkitakorangSarawak : ADAKAH KENYATAAN INI BENAR ?

Tiga sekolah ditutup

BINTULU: Tiga sekolah rendah di sini ditutup mulai semalam berikutan dinaiki air sejak dua hari lalu.


Menurut maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mejar Ismail Mahedin, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sigu, SK Genaan dan SK Nanga Penyarai.

“Sekolah-sekolah ditutup hanya dibuka semula setelah air surut di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan murid yang menuntut ilmu di sekolah terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan APM Bintulu mulai bergerak semalam bagi memantau serta meninjau kawasan rendah berisiko dilanda banjir.

Sekretariatnya Ra’idah Jomi berkata lima kawasan dalam pemantauan ialah jeti bot ekspres Sungai Kemena, Kampung Assyakirin, Kampung Baru, Sungai Sebatang dan kawasan setinggan Sungai Plan.

“Bagaimanapun, keadaan air surut dan terkawal setakat jam 11.30 malam kelmarin namun pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya hujan lebat dan air pasang penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir Daerah Sebauh diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana paras air Sungai Kemena dan Sebauh agak tinggi dan berada pada paras bahaya iaitu 10.90 meter.

Keadaan itu adalah berikutan hujan lebat di kawasan Tubau dan Jelalong sejak dua hari lalu.

Friday, 20 January 2017

Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri-menteri Muda Negeri Sarawak

Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menyaksikan tujuh orang menteri dan lapan belas orang menteri muda mengangkat sumpah jawatan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Baharu pada hari semalam, 19 januari 2017.


Majlis angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan masih memegang portfolio yang sama sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ialah Dato Sri Wong Soon Koh, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Fatimah Abdullah, Dato Sri Stephen Rundi Utom, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian.

Datuk Fatimah Abdullah
Manakala Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Naroden Majais mendahului angkat sumpah sebagai menteri muda kerajaan negeri. Diikuti oleh Datuk John Sikie Tayai, Datuk Talib Zulpilip, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr. Jerip Susil, Encik Liwan Lagang, Puan Rosey Yunus, Datuk Len Talif Salleh , Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dr. Abdul Rahman Junaidi, Dr. Abdul Rahman Ismail , Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Dr. Annuar Rapa‘ee, Encik Malcom Mussen Lamoh dan Datu Dr. Penguang Manggil.

Dato Sri Michael Manyin Jawong
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian
Dato Sri Wong Soon Koh
Dato Sri Stephen Rundi Utom
Kesemua mereka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri-menteri Muda Negeri Sarawak selepas mantan Ketua Menteri Sarawak Ke-5 Allahyarham Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia pada 11 Januari 2017 akibat komplikasi jantung.


Abang Zohari memegang portfolio sebagai Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi. 

“ Setakat ini semua menteri dan menteri muda masih lagi memegang portfolio yang sama cuma tambahan dalam nama Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi dan tiada pelantikan baru bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri”ujar Abang Zohari pada sidang media selepas majlis angkat sumpah berlangsung.

“Kita akan meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham mantan Ketua Menteri dan selagi saya menjadi Ketua Menteri kita akan mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan mengenai hak negeri sarawak seperti dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak akan membenarkan UMNO masuk ke Sarawak dan kita akan berkerja sebagai satu pasukan iaitu Barisan Nasional.” tambah Abang Zohari lagi. 

Ditanya mengenai bakal calon bagi DUN N.3 Tanjong Datu , beliau menyatakan sudah pasti akan meletakkan calon yang layak dan boleh menang. 

Abang Zohari 67, anak lelaki bongsu Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama Tun Abang Openg Abang Sapiee, mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-enam Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lepas di Astana.

Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Kurdi Taib, Isteri Ketua Menteri, Datin Amar Dato Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani Sulaiman, menteri-menteri dan ketua jabatan. 

Kabinet Sarawak 2017


Monday, 16 January 2017

"I LOVE YOU, MILAH..." - Adenan Satem


Pagi tadi selesai menunaikan solat Subuh, saya segera bersiap untuk pergi ke terminal bas menjemput ayah mertua yang baru sampai dari Bintulu. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk menjemput beliau setiap kali datang ke Kuching atas urusan kerja.

Ayah mertua sampai lebih awal dari saya jangkakan. Kami berdua kemudian bersarapan pagi di Kopi O Corner bagi mengisi perut. Ayah mertua bersembang pelbagai topik dengan saya dan antaranya ialah tentang pemergian Datuk Seri Adenan Satem baru-baru ini. Ayah mertua saya banyak memuji almarhum kerana keberaniannya mempertahankan hak negeri Sarawak dan memajukan anak tempatan.

Setelah sejam duduk bersembang, ayah mertua mengajak saya untuk menziarahi kubur almarhum Tok Nan. Saya bersetuju dan setelah membayar makanan, kami terus bergerak menuju ke Tanah Perkuburan Semariang.

Setibanya di sana, kami melihat kereta bersusun di tepi jalan kubur menunjukkan ada yang menziarahi kubur almarhum. Kami berdua pun mengambil tempat untuk membaca Yasin dan doa untuk disedekahkan kepada almarhum. 

Rupanya di antara ramai orang tadi, Datin Jamilah Anu serta keluarganya turut ada di kubur untuk menyambut pengunjung yang datang. Masih tampak kesedihan pada riak wajah beliau kerana kehilangan suami tersayang. 

Saya dan ayah mertua mendekati beliau dan bertanya khabar. Beliau menyambut kami dengan ramah dan berusaha untuk senyum. Saya dan ayah mertua mengambil peluang untuk bertanyakan kisah Tok Nan beberapa ketika sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

"Nya mula2 sikda papa. Minak demam ajak lekak pulang dari Melbourne (Australia). Pulang dari sia alunya demam, kakya diembak ke hospital molah check up.

Kamek nang sentiasa ada dengan nya. Tapi syukur juak lah, masa nya ninggal ya diriknya baruk kak abis sembahyang. Badan, bajunya dah bersi. 

Kamek megang tangannya, nya mpun nangga kamek. Last word nya madah ngan kamek,

"Milah, i love you..."

Kakya alu nya meninggalkan kamek urang selama-lamanya..."

Pada ketika ini, saya mula merasakan bahawa dalamnya cinta Tok Nan kepada isterinya. Datin Jamilah sentiasa setia bersama Tok Nan sepanjang karier beliau sebagai ahli politik, dan telah diketahui ramai Datin Jamilah sangat peramah dan humble down to earth apabila bertemu dengan rakyat biasa. Beliau sangat mesra dengan semua orang sama seperti suami beliau, sehingga semua orang senang dan merasa dihargai apabila bersama dengan beliau.

Cinta Tok Nan kepada Datin Jamilah tidak berbelah bahagi. Cinta beliau amat dalam, dan saya seolah dapat merasakan Tok Nan sendiri mungkin rasa berat hati untuk meninggalkan isteri yang amat dikasihinya. 

Takdir Allah mengatasi segalanya. Setakat itu sahajalah usia perhubungan mereka suami isteri, tetapi cintanya tetap kekal abadi. 

Kasih dan cinta Datin Jamilah terhadap Tok Nan, akan tetap segar dalam ingatan beliau.

Cinta yang abadi, kasih yang kekal selamanya.

Kredit : Asri Bin Sapiee 

Dayang : Adenan, "Lelaki Teragung".


"Saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) nanti kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem," demikian kata penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah.

Lelaki Teragung dendangan Dayang Nurfaizah antara 12 lagu yang layak ke pertandingan AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dayang Nurfaizah berkata beliau menyedari harapan tinggi rakyat Bumi Kenyalang agar dendangan lagu itu nanti turut dibuat secaratribute kepada Adenan, bagaimanapun berkata sukar untuk mengubah konsep persembahan memandangkan semua perancangan sudah dibuat sejak sebulan lalu.

Persiapan semua sudah siap, minggu depan tinggal latihan bersama kumpulan orkestra dan juga kumpulan muzik (band) di venue pertandingan (PWTC). Jika konsep persembahan ditukar pelbagai perkara perlu diambil kira kerana perlu melibatkan ramai pihak juga.

"Biarpun konsep persembahan tidak ditukar saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya nanti kepada Tok Nan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak semalam, rata-rata netizen (warga media sosial) melahirkan keinginan melihat Dayang Nurfaizah membuat persembahantribute (memberi penghormatan) ketika mendendangkan lagu Lelaki Teragung untuk Adenan nanti.

Dayang Nurfaizah menegaskan biarpun konsep persembahan itu nanti tidak dibuat secara tribute terus kepada Adenan, itu tidak bermakna semangat beliau sebagai anak Sarawak menjadi kurang.

"Saya tidak mahu buat tribute dengan sekadar letak gambar. Konsep persembahan perlu dibuat sebaik mungkin, dan seperti saya katakan tadi, kalau konsep persembahan yang sudah dibuat sejak sebulan lalu ditukar ia melibatkan ramai pihak," katanya.

Sebagai anak Sarawak biarpun berada Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty turut berkongsi kesedihan berita pemergian ketua menteri itu berkatatribute kepada Adenan mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk lain.

"Saya berharap kita boleh buat tributeatau something kepada Tok Nan. Kalau boleh ada pihak yang mengumpul penyanyi kelahiran Sarawak seperti Hafiz Suip, Bob AF serta mana-mana penyanyi lain dan kita buat persembahan itu nanti di Sarawak," katanya.

Berkongsi pengalaman membuat persembahan pada majlis yang melibatkan Adenan, Dayang Nurfaizah berkata Tok Nan seorang yang menyukai muzik.

"Bila buat persembahan kadang kala kita boleh nampak ada yang tidak ambil tahu pun tapi Tok Nan lain, dia tahu, dia hargai, enjoy serta menghargai persembahan tersebut. Saya amat berbesar hati diundang melibatkan majlis Tok Nan tambahan lagi sebagai anak Sarawak," katanya.

Dayang Nurfaizah berkata secara peribadi beliau tidak pernah bercakap dengan Adenan, namun sentiasa mengikuti perkembangan ketua menteri Sarawak kelima itu.

"Saya berada di Kuala Lumpur tetapi sentiasa ikut perkembangan beliau, semangatnya membela rakyat menerusi dasar-dasar yang dibuat membuatkan saya amat bangga sebagai anak Sarawak," katanya.

Friday, 13 January 2017

Ketua menteri baharu angkat sumpah esok?


KUCHING: Ketua menteri yang baharu dijangka akan mengangkat sumpah pada Sabtu ini memandangkan kerajaan negeri tidak dapat berfungsi tanpa ketua menteri dan tidak wujud peruntukan dalam Perlembagaan negeri bagi melantik pemangku ketua menteri.

Ini didedahkan oleh sumber amat arif tentang perundangan dan sistem negeri yang memberitahu apabila ketua menteri meninggal dunia atau meletak jawatan, ahli-ahli kabinet negeri perlu meletak jawatan atau dianggap telah meletak jawatan.

Susulan kematian Allahyarham Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Rabu lepas, Sarawak kini secara teknikalnya ditadbir oleh kerajaan sementara, justeru wujud keperluan melantik ketua menteri baharu.

“Pada asasnya, tidak ada kerajaan mentadbir negeri apabila ketua menteri meninggal dunia sehingga ketua menteri baharu dilantik. Sementara menunggu ketua menteri baharu dilantik, kerajaan sekarang cuma kerajaan sementara,” kata sumber tersebut memberitahu The Borneo Post semalam.

Secara tradisinya, ketua menteri dipilih daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti komponen pemerintah terbesar di negeri ini.

Antara nama berpotensi dan diuar-uarkan sekarang ialah Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari merupakan Timbalan Presiden PBB, manakala Uggah dan Awang Tengah masing-masing merupakan Naib Presiden Kanan.

Sumber tersebut memberitahu lagi tidak ada peruntukan undang-undang negeri ini bagi membolehkan pemangku ketua menteri dilantik.

“Bagaimanapun, dalam situasi sebegini, secara konvensyen, Yang di-Pertua Negeri boleh melantik seseorang untuk mentadbir kerajaan negeri secara sementara bagi menggalas tanggungjawab sementara menantikan kerajaan pemerintah mencari pengganti.

“Ini pernah diputuskan di mahkamah pada 1994 apabila Tan Sri Pairin Kitingan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri. Seorang daripada menterinya Datuk Amir Kahar Tun Mustapha merupakan timbalan ketua menteri dalam kabinet Pairin.

“Selepas Pairin meletak jawatan, dia (Amir) memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa dia tidak pernah meletak jawatan dan masih kekal sebagai timbalan ketua menteri.

“Ini kerana menteri kabinet dilantik atas nasihat ketua menteri yang telah meletak jawatan,” jelasnya.

Justeru, sumber berkata apabila ketua kerajaan meletak jawatan atau meninggal dunia, kabinet baharu akan dibentuk oleh ketua menteri baharu.

Sumber memberitahu, Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan ketua menteri baharu.

“Pelantikan ketua menteri merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertua Negeri. Kuasanya tidak dapat dipertikai di mahkamah. Ini bermakna, Tun (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) merupakan pembuat keputusan.”

Penganalisis menjangkakan ketua menteri baharu kelak mempunyai ruang besar untuk diisi memandangkan beliau perlu memastikan dasar-dasar Adenan seperti isu autonomi berhubung royalti minyak dan gas, Perjanjian Malaysia 1963 dan hal ehwal pendidikan diselesaikan.

Jika gagal, ia akan disusuli dengan kekecewaan kepada rakyat Sarawak yang memberi kemenangan besar kepada Adenan pada Pilihan Raya Negeri 2016. - UB

Wednesday, 11 January 2017

Jenazah Adenan Akan Dikebumikan Esok

Dalam sidang medianya di Wisma Bapa Malaysia, beliau menzahirkan rasa dukacita kerajaan negeri di atas pemergian Allahyarham. Katanya lagi, majlis pengebumian Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem akan dilangsungkan pada esok hari selepas Zohor dan dijangka Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan hadir bagi memberi penghormatan terakhir.



Dalam sidang media itu juga, beliau memberitahu, rakyat negeri Sarawak boleh memberikan pernghormatan terakhir kepada Allahyarham bermula pada jam 10.30 pagi sehinggalah waktu Zohor. Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Semariang.

Beliau juga mengumumkan bahawa esok adalah hari perlepasan am bagi seluruh rakyat negeri Sarawak sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Kerajaan Sarawak juga akan berkabung selama 7 hari dengan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas siapa yang memegang jawatan pemangku Ketua Negeri Sarawak dan beliau menegaskan, semua urusan negeri hanya dijalankan semula sebaik sahaja jenazah Allahyarham selamat dikebumikan.

Wednesday, 4 January 2017

Fenomena Perihelion, Kedudukan Matahari Paling Hampir Dengan Bumi Dijangka Berlaku Hari Ini


Fenomena Perihelion iaitu kejadian kedudukan matahari berada paling hampir dengan permukaan bumi dijangka akan bermula hari ini, lapor Sinar Harian.

Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata, fenomena Perihelion ini menyebabkan kedudukan matahari akan berada di titik paling hampir dengan bumi.

“Semasa fenomena berlaku, Matahari akan berada di jarak 147,100,998 kilometer (km) dari Bumi berbanding pada kebiasaannya iaitu di 149,600,000 km.

“Fenomena perihelion berlaku apabila Bumi melengkapkan putaran 365 hari mengelilingi orbitnya yang berbentuk elips (bujur),” katanya.

Ditanya adakah terdapat perubahan suhu berikutan kedudukan matahari yang sedikit dekat berbanding kedudukan asal, beliau menyatakan memang terdapat sedikit perubahan suhu yang berlaku semasa fenomena ini namun tiada yang mendatangkan bahaya.

Orang ramai juga diminta tidak panik atau cemas memandangkan fenomena ini sering berlaku saban tahun.

“Memandangkan jarak Matahari yang dekat dengan Bumi, ia mungkin akan menyebabkan suhu cuaca sedikit tinggi daripada kebiasaannya, walaupun begitu ia tidak menyebabkan kepanasan yang melampau atau ‘heatwave’.

“Perbezaan saiz Matahari juga dapat dilihat tetapi tidak begitu ketara dan kita di Malaysia tidak dapat melihat fenomena ini kerana ia berlaku pada waktu malam, pukul 10.18 malam,” jelasnya.

Menurut beliau, fenomena ini memberi peluang para saintis di seluruh dunia akan menggunakan kesempatan ini untuk mengambil ukuran radiasi matahari dan merekodkannya.

Bagaimanapun, pada 4 Julai nanti, bumi akan mengalami satu lagi fenomena iaitu Aphelion di mana ketika itu, matahari akan berada pada jarak paling jauh dengan bumi.