Pages

Wednesday, 29 July 2015

Lelaki dikecam kerana isteri yang sangat cantik


Hanya kerana memiliki seorang isteri yang jelita, seorang lelaki dari wilayah Hebei, China menjadi mangsa kecaman pengguna internet.

Mei Aisi, seorang ahli perniagaan, kini menetap di Ukraine dan bertemu jodoh dengan wanita berusia 19 tahun dari negara berkenaan. 

Mereka bertemu ketika Aisi baru sahaja memulakan kehidupan di Ukraine sebagai jurugambar, beberapa tahun lepas.

Tidak dapat dipastikan nilai kekayaan Aisi namun dia kini sedang membina sebuah sebuah vila sendiri seluas 3,000 meter persegi.

Walaupun datang dari keluarga yang sederhana, Aisi telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya dalam karier.

Pun begitu, tindakan Aisi memuat naik gambar isterinya di laman web Weibo mengundang rasa tidak puas hati pengguna Internet di China.

Ada yang tanpa rasa bersalah menuduh isterinya sebagai mata duitan kerana Aisi bukan lelaki yang kacak.



Pasangan itu mempunyai seorang anak.

Memetik laporan CCTV News, Aisi berkata wanita Ukraine tidak begitu memandang rupa dan harta. Malah untuk memikat hati bakal mertua juga tidak sukar.

"Anda hanya perlu bawa wain dan sejambak bunga, dan anda akan dapat restu mereka," kata Aisi.

Nilai Dolar Australia Jatuh Lebih Rendah dari Dolar Singapura Buat Pertama Kali sejak 2009



Nilai matawang dolar Australia pada pagi Isnin telah jatuh teruk berbanding nilai matawang dolar Singapura buat kali pertama selepas krisis kewangan global pada Mac 2009.

1 dolar Australia hanya bernilai $ 0.9981 dolar Singapura pada 11.20 pagi, hari Isnin.

Bekas gergasi matawang dolar Australia itu, telah mengalami kejatuhan teruk akibat permintaan global berikutan komoditi eksport negara yang semakin rendah dan beberapa siri penyusutan ekonomi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kejatuhan dolar Australia menjadikan harga import Singapura dari negara tersebut adalah lebih rendah, walaupun masih ada faktor-faktor lain seperti keadaan cuaca yang tidak menentu, kos buruh dan permintaan kekal statik atau berkurangan.

Pengarah Oh Deli, Susie Oh, pengimport produk makanan tempatan Australia, berkata kepada The Straits Times: “Nilai dolar Australia adalah tinggi berbanding dolar Singapura dalam tempoh yang panjang kerana sumber yang sangat banyak. Oleh itu keadan itu menjadikan harga kami tetap stabil.”

“Kejatuhan matawang Australia pastinya menjadikan kos kami menurun. Namun begitu, kerajaan Australia sudah tentu akan menaikkan harga barang,” katanya.

Penurunan ekonomi di China telah menjadi antara penyumbang utama kepada kelemahan dolar Australia. Perlombongan dan sektor pertanian merupakan penyumbang yang besar dalam ekonomi negara, dengan produknya yang akan dieksport terutamanya ke pasaran Asia Timur.

Dolar Australia pada Jumaat lalu, merosot ke paras paling lemah dalam tempoh enam tahun berbanding dolar AS kerana aras penghasilan di China tiba-tiba menurun kepada tahap paling rendah dalam tempoh 15 bulan.

Pakar ekonomi berkata prospek ekonomi Australia masih kabur untuk beberapa tahun mendatang, terutamanya apabila ledakan komoditi yang mendorong pertumbuhan negara dalam tempoh sedekad sehingga tahun 2013 telah berakhir.

Agensi rating Standard & Poor berkata, situasi ini boleh menurunkan penarafan (rating) kredit Australia sekiranya bajet negara tidak dibaiki.

Kuching Bandaraya pertama mendapat gelaran ini



KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mengumumkan bandaraya Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan pada 1 Ogos depan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai semalam pada sidang media sambutan Hari Bandar Raya Kuching.

“Pegisytiharan bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya perpaduan adalah hasil cetusan idea dan kajian oleh pihak Yayasan 1Malaysia yang melambangkan ciri-ciri perpaduan,” katanya.

Beliau kemudian menambah, ia sekali gus membuktikan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa komited memenuhi kriteria dan jusfikasi terutama dari segi menerima kepelbagaian budaya, persefahaman dan keharmonian.

Pada majlis yang sama, logo yang bertemakan ‘Kuching… Bandaraya Perpaduan’ akan turut dilancarkan.

Bandaraya Kuching merupakan yang pertama di Malaysia yang diberi gelaran tersebut selepas kajian terperinci yang dijalankan pihak Yayasan 1Malaysia sebelum ini.

Tidak dilupakan kata Abang Wahap, bahawa golongan remaja amat penting dalam mengukuhkan negara dan menjadi pendukung kepada tanggungjawab serta hala tuju negara.

“Tanpa golongan remaja, pembangunan negara akan tempang dan terbantut maka di tangan merekalah terletak satu tanggungjawab besar bagi memajukan negara,” jelasnya.

Pada masa yang sama, sempena sambutan Pesta Kuching pelbagai aktiviti telah dirancang untuk orang ramai.

Pihaknya turut menjemput orang ramai menyertai Pasar Lambak DBKU, program ‘City Day Fun Ride’, Pesta Macam-Macam Laksa dan Festival Tarian Tradisional Sarawak.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 082-446688.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan. -UB



Projek menaik taraf jalan raya di Bukit Paip terbengkalai


PAKAN: Hasrat penduduk dua rumah panjang, Rumah Lau dan Rumah Saban di sini serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kota menikmati sistem perhubungan lebih selesa dan sempurna terbantut dan berada dalam kebuntuan.

Ini kerana salah satu projek menaik taraf jalan raya di kawasan terbabit terbengkalai dan ditinggalkan oleh pihak bertanggungjawab tanpa sebarang perkembangan susulan.

Tuai Rumah Lau berkata, pada mulanya penduduk kawasan terbabit gembira dan teruja apabila mendapat khabar dan dimaklumkan bahawa Jalan Bukit Paip dinaik taraf kepada jalan bersimen.

“Kegembiraan itu bertambah apabila kontraktor berkaitan telah menghantar bahan binaan jalan menuju ke dua rumah panjang.

“Namun, lokasi penghantaran bahan binaan seperti pasir, batu serta beberapa bahan binaan lain diletakkan di Bukit Sawit bukan di Bukit Paip seperti dimaklumkan.

“Situasi itu mengelirukan penduduk apabila kontraktor memulakan kerja menyimen jalan di Bukit Sawit.

“Bagaimanapun, jalan yang disimen itu hanya sepanjang 12 kaki dan pihak terbabit tidak lagi kelihatan di lokasi itu sehingga hari ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Lau, penduduk dan warga SK Nanga Kota mengharapkan kerja menaik taraf jalan itu dijalankan dengan segera memandangkan ia begitu sukar dilalui kenderaan sekiranya hujan dan jalan licin kerana basah.

Katanya kerja pembinaan di kawasan terbabit dijalankan pada penghujung Jun lalu.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali Jimbau berkata, penduduk ada mendengar spekulasi mengatakan projek itu dipindahkan ke lokasi lain.

“Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan kami berharap hanya khabar angin sahaja.

“Berdasarkan maklumat yang tersebar di kalangan penduduk di sini, kontraktor terbabit tidak mampu meneruskan kerja pembinaan kerana kos ditender tidak mampu menampung kos sebenar.

“Menurut khabar angin kos pembinaan diperuntukkan ke lokasi tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain.

“Penduduk berharap jalan yang menjadi nadi utama perhubungan penduduk di sini dapat diberikan nafas baharu dengan menaik taraf ke peringkat lebih selesa dan berkualiti,” katanya.

Tuesday, 28 July 2015

"Tolong Bangun Sayang, Saya Janji Akan Jaga Awak Seumur Hidup Saya"



Luluh hati seorang lelaki apabila bakal tunangnya meninggal dunia setelah hampir dua minggu bertarung nyawa di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Dipercayai bakal tunangnya terlibat dalam kemalangan pada hari raya ketiga dan menyebabkan kecederaan di bahagian tulang bahu, tangan dan mengalami pendarahan di otak.

Lebih menyedihkan kerana segala persiapan majlis pertunangan telah diuruskan oleh bakal tunang lelaki tersebut.

Di bawah ini adalah antara kapsyen yang dimuat naik dalam gambar lelaki tersebut umpama menyembunyikan rasa kesedihan atas pemergian bakal tunangnya.

"Punyalah excited tunjuk baju tunang dekat saya. tak sabar nak pkai time majlis nanti. bila sy nak beli saya punya awak kata tunggu dulu. awak yang nak pilih & belikan. awak organize sangat sayang, kalau boleh satu kertas mahjung tu awak nak tulis pasal preparation awak."

"Punyalah susah nak cari cincin yang awak berkenan. dahla jari tu kecik cenonit je. nasib baik dapat cari. tu pun kena potong lagi nak kasi muat jari. nasib baik awak kaki tu mcm ada spring bila shopping lama mana pun takpe.
Al-Fatihah."

Di bawah ini adalah status in Instagram lelaki tersebut, sangat menyentuh perasaan.

Alfatihah kepada mangsa.





























































Tonton Telemovie AL-Kesah Balit Raya

Sebuah Telemovie terbitan Jabatan Penyiaran Sarawak, "AL-Kesah Balit Raya" lakonan anak-anak Sarawak. Ia mengisahkan seorang pemuda bernama Hafiz lakonan Firdaus Affandi yang bekerja di Bandaraya Kuching. Hafiz yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ngap Sayot Secuarity.


Sikap emaknya yang suka membandingkannya dengan adiknya, membuatkan Hafiz berkecil hati dan telah lama tidak pulang ke kampung halaman.


Disebabkan rekod yang amat baik sepanjang perkhidmatannya dan telah 5 tahun tidak pernah bercuti, Majikan Hafiz memaksanya untuk bercuti balik raya. Saksikan kesudahan cerita ini dengan mengklik link di bawah. Turut menjayakan telemovie ini ialah Margaret Joseph, Kahar Jini, Rushdie Mornie Daud, Siti Aisyah Samsudin, Mazlan Hipni dan Jalot Jeman.




Wednesday, 22 July 2015

Sarawak tak layan referendum keluar Malaysia - Adenan Satem



PETRA JAYA: Kerajaan negeri menolak sama sekali dan tidak akan melayan sebarang desakan yang mahu mengeluarkan negeri ini daripada Persekutuan Malaysia. Ketua Menteri Sarawak, 

Tan Sri Adenan Satem, berkata bagaimanapun kerajaan negeri bersimpati serta memahami sentimen rakyat negeri ini yang mahu melihat perubahan terutama dalam pemberian lebih kuasa autonomi. 

"Kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan bersetuju untuk membawa Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia. Sebarang referendum mengeluarkan negeri ini keluar tidak akan diluluskan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Memperingati Kemerdekaan Sarawak 22 Julai, di perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi ini.

Friday, 10 July 2015

Suspek Rogol Gadis bergilir-gilir sedang diburu Polis


Polis sedang menyiasat kes seorang gadis yang dipercayai dirogol secara bergilir-gilir sebelum dibuang ke dalam parit.

Gadis berusia lingkungan 20an itu ditemui terbaring di dalam parit berhampiran sebuah restoran makanan laut di Jalan Bundusan, dekat Penampang, Sabah

Ketika ditemui, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri dan seluruh anggota badannya mengalami lebam-lebam dipercayai akibat dipukul.


Ketua Polis Penampang, DSP Rosley Honden berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

“Gadis itu kini sedang mendapatkan rawatan sebelum kita boleh mengambil keterangan daripadanya,” katanya.

Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat. Berikut adalah lakaran wajah antara suspek yang dikehendaki oleh pihak Polis.


Akibat leka ‘main’ telefon



Mianyang (China): Kerana terlalu asyik membalas mesej di telefon bimbit seorang gadis merana selama satu jam selepas kakinya tersepit di celah besi penutup longkang di sini, baru-baru ini.

Kejadian di bandar Mianyang di wilayah Sichuan itu berlaku ketika gadis berkenaan terlalu asyik membalas mesej sambil berjalan.

Dia kemudian secara tidak sengaja terpijak besi penutup longkang sehingga menyebabkan kakinya yang kurus termasuk di celah besi berkenaan.

Orang ramai cuba membantu gadis berkenaan, tetapi gagal kerana kakinya tersepit hingga ke paras lutut.

Selepas hampir satu jam, seorang lelaki kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

Rumah yang dihuni sekeluarga musnah dalam kebakaran



BINTULU : Sebuah rumah yang dihuni sekeluarga tiga orang musnah dalam satu kebakaran di Batu 12, Jalan Bintulu- Miri pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu dalam satu kenyataan memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.28 pagi daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut.

Pihak Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera Scania dan kenderaan pacuan empat roda (Hilux) dengan kekuatan sebelas anggota yang di ketuai oleh Penguasa Bomba Kanan 2, Hashin Morshidi.

Pihaknya mengamil masa kurang daripada lima minit bagi mengawal kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - RTM Sarawak

Lelaki dibelasah penduduk Kampung



KUCHING: Gara-gara dituduh mencuri barang penduduk kampung, seorang lelaki cedera dibelasah di Kampung Bintawa Tengah di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis, malam kelmarin.

Insiden dilaporkan berlaku apabila suspek yang berusia 20-an baharu pulang ke rumahnya selepas dikatakan bersembunyi daripada pihak polis sekitar jam 8 malam.

Menurut sumber, penduduk kampung yang menyedari kehadiran suspek terus menangkapnya sehingga berlaku pergelutan di antara suspek dan penduduk kampung menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis.

“Anggota polis segera ke tempat kejadian dan menemui suspek terbaring di atas jalan raya sambil diawasi oleh penduduk kampung,” kata sumber.

Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang ibu membuat laporan polis semalam selepas mendakwa anaknya sering mengamuk dan mengugut membunuh semua ahli keluarganya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Sukma, di sini apabila suspek yang berusia 27 tahun tiba-tiba mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah sekitar jam 7 pagi.

“Selain itu, suspek juga menumbuk adik serta bapanya selain turut mengugut akan membunuh keluarganya menyebabkan ibunya terpaksa melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis,” kata sumber.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. -UB

Kuching tuan rumah Hari Kebangsaan 2015

KUCHING: Bandar raya ini dipilih sebagai venue bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan pengibaran Jalur Gemilang yang diadakan pada 8 Ogos depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan yang bertemakan ‘Malaysia #Sehati Sejiwa’ itu dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tema ini bermakna untuk memperkukuhkan lagi semangat keakraban dan kesatuan rakyat Malaysia keseluruhannya merangkumi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, bahawa kita bergerak sama membina negara.

“Mengenai logo yang diperkenalkan (kepada Ketua Menteri) ia seperti peta menggambarkan penyatuan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak di bawah satu negara tetapi berada dalam satu hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan dan merasmikan Logo Hari Kebangsaan 2015 bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Ahmad Shabery menjelaskan bahawa mulai tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun sebaliknya mengikut tahun.

“Misalnya pada kali ini kita menyebut sambutan Hari Kebangsaan 2015 tanpa menyebut ulang tahun seperti ke-58 atau ke-59.

“Ini kerana selagi kita menyebut ulang tahun mengenainya, ia menggambarkan sambutan yang dikaitkan dengan Semenajung Malaysia sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persiapan sambutan, Ahmad Shabery berkata ia berada dalam keadaan lancar dan bandar raya Kuching bakal meriah sempena sambutan nanti.

Beliau berkata kementerian menggalakkan semua pihak bersama mengibar dan menggantung Jalur Gemilang di samping usaha kerajaan negeri dan pusat.

Malahan ujarnya, pengusaha hotel dan restoran digalak menghiasi premis mereka dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

“Kita juga menggalakkan hotel dan restoran untuk mengadakan tawaran istimewa sama seperti bufet Ramadan, di mana mereka mungkin boleh mengadakan Jamuan Hari Kebangsaan dan sebagainya.

“Namun yang pentingnya adalah bangunan atau kedai mereka mesti dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menaikkan lagi semangat perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya.

Mengenai memainkan lagu kebangsaan Negaraku di pawagam-pawagam, Ahmad Shabery berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dan berharap tidak akan menjadi isu lagi oleh ahli politik pembangkang.

Bermalam di Kebun kerana terjatuh dari pokok mangga

KUCHING: Seorang lelaki terpaksa berteduh di bawah pokok mangga semalaman selepas dia terjatuh dari atas pokok tersebut namun tidak disedari oleh keluarganya kelmarin.

Mangsa berusia 41 tahun dan berasal dari Kampung Semariang Pinggir dikatakan pergi le kebunnya itu untuk mengambil buah mangga sekitar jam 12 tengah hari Rabu lepas.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjatuh dari ketinggian kira-kira 12 kaki apabila cuba memetik buah mangga tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

“Mangsa pengsan dan hanya sedarkan diri sekitar jam 4 petang, namun masih tidak berdaya untuk bangun dan keluarga mangsa juga ada pergi mencari mangsa sekitar jam 6 petang tetapi tidak menjumpainya.

“Mangsa yang tidak berdaya untuk bangun sendiri terpaksa bermalam di situ sehingga pagi tadi (semalam), keluarga mangsa datang semula ke kebun tersebut dan berjaya menemui mangsa,” kata sumber.

Keluarga mangsa terpaksa mendapatkan bantuan pihak ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sehingga berita ini ditulis, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di HUS dan dikhuatiri patah tulang bahu dan kecederaan di bahagian belakang badan. -UB

Melepaskan Nafsu di Tanah Kubur



SIBU: Polis menahan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun kerana disyaki merogol budak perempuan berusia 12 tahun di sebuah tanah perkuburan di Sungai Merah, malam kelmarin.

Suspek bekerja sebagai buruh, berbangsa Melanau ditahan di tempat kerjanya di sebuah gudang penyimpanan makanan di Jalan Dik Ling Kwong pada jam 2 petang semalam.

Bertindak atas maklumat, mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Parut koyakan lama pada kemaluan mangsa dikesan doktor mengukuhkan lagi dakwaan bahawa budak perempuan itu menjadi mangsa rogol.

Mangsa yang berumur 12 tahun 10 bulan berbangsa Iban tampil ke Balai Polis Sungai Merah tengah hari semalam.

Menurut laporan, insiden rogol tersebut berlaku di sebuah tanah perkuburan terletak di kawasan belakang sebuah sekolah di Sungai Merah sekitar jam 9 malam kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mencari seorang kakak di tempat kerjanya di sebuah kedai di Sungai Merah, namun kedai itu telah tutup.

Mangsa kemudian pergi ke sebuah taman permainan berdekatan untuk mencari kakaknya namun tiba-tiba terserempak dengan seorang lelaki yang dikenalinya seminggu sebelum itu.

Tanpa diduga, lelaki itu menarik tangannya dan membawa mangsa ke suatu tempat di kawasan belakang sebuah sekolah di situ tanpa memberitahu tujuan sebenar.

Menurut mangsa, apabila tiba di kawasan dipercayai tanah perkuburan, suspek membuka zip seluar jeans dan seluar dalam mangsa sebelum dia membuka seluarnya sendiri.

Ditemui di balai polis petang semalam, mangsa berkata dia tidak berdaya melawan kerana kedua-dua tangannya dipegang kuat ketika suspek merogolnya.

Tidak lama kemudian, katanya, ketika dia dalam keadaan separuh bogel bersama suspek, ibu dan abangnya muncul.

Menurut mangsa, suspek cuba dikejar oleh abangnya namun berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi petang semalam mengesahkan menerima laporan tersebut.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Pegawai penyiasat kes akan memohon perintah reman terhadap suspek esok (hari ini),” katanya. -UB

Thursday, 9 July 2015

Jet bawa Tun Pehin Sri alami kemalangan



Sebuah jet yang membawa Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terlibat dalam insiden kecil dengan pesawat ringan Twin Otter milik MASwings yang berada di Lapangan Terbang Mukah pada 4.42 petang semalam.

Menurut sumber, bahagian sayap jet itu terlanggar bahagian depan pesawat kecil MASwings akibat sedikit kesilapan teknikal.

Katanya, jet yang diletak dalam keadaan ‘mendarat’ itu secara tidak sengaja telah terlanggar bahagian muncung pesawat MASwings yang diletakkan di kawasan itu bagi memberi laluan kepada ketibaan jet tersebut.


“Jet itu dipercayai membawa TYT untuk menghadiri satu majlis di masjid di sini. Ketika kejadian, beliau berada di dalam jet.

“Kami yang berada di tempat kejadian berasa terkejut. Mujur ia cuma kemalangan kecil dan tiada siapa tercedera,” katanya.

Sejurus insiden kecil tersebut, TYT menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan bermula jam 6 petang.


Wanita dipercayai disimbah asid oleh bekas suami



KUCHING: Seorang wanita warga asing melecur di muka dan badan selepas dipercayai disimbah asid oleh bekas suaminya ekoran perselisihan faham di antara mereka, semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 28 tahun bersama seorang anaknya yang baharu berusia lima tahun menyewa di sebuah rumah di Kampung Gersik di sini selepas bercerai dengan suaminya.

Difahamkan, bekas suaminya telah pergi ke rumah tersebut dan berlaku pertengkaran di antara mereka sekitar jam 5 pagi.

“Penduduk kampung pada mulanya mendengar mereka bertengkar sebelum kedengaran mangsa menjerit meminta tolong dan mengerang kesakitan kira-kira 15 minit kemudian.

“Jiran yang risau akan keadaan mangsa terus ke rumah mangsa dan terkejut melihat mangsa melecur dari muka hingga ke kaki dipercayai disimbah dengan sejenis asid,” kata sumber.

Dengan dibantu oleh beberapa lagi jiran, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh jiran mangsa.

Wednesday, 8 July 2015

Wanita cari udang maut dibaham buaya



SARATOK: Seorang wanita sedang menangkap udang di Sungai Krian dekat sini maut setelah dipercayai menjadi serangan buaya petang kelmarin.

Mangsa, Bera Aun, 46, berasal dari Rumah Minggu, Krango Krian dipercayai diserang buaya pada jam 5.07 petang.

Sebaik sahaja mangsa dilaporkan hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dilancarkan.

Sekitar jam 6 petang, penduduk kampung yang menyertai operasi SAR menjumpai mayat mangsa lebih kurang satu kilometer dari lokasi mangsa diserang.

Terdapat beberapa kesan gigitan di bahagian pinggang mangsa dipercayai akibat dibaham buaya berkenaan.



Sejurus ditemui, mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk proses selanjutnya.

Serangan buaya sering dilaporkan berlaku di Sungai Krian dan anak sungainya yang terkenal sebagai tempat memancing udang.

Pada Jun tahun lepas, seorang remaja lelaki Telecson Ancharang, 13, terselamat daripada serangan reptilia itu sewaktu memancing udang bersama pakciknya Ngelambong Chundai di Sungai Supa, Senyawan, Krian.

Mangsa mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya.

Lelaki ditemui mati di ladang kelapa sawit



SEBAUH: Panggilan ngeri daripada lelaki tidak dikenali menjadi realiti buat seorang wanita apabila suaminya ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan simpang Jalan Sebauh di sini sekitar jam 1 petang semalam.

Mayat mangsa yang hanya dikenali dengan nama Agus, dari Indonesia dan berumur dalam lingkungan umur 30-an ditemui oleh rakan-rakannya sendiri yang diarah oleh isterinya untuk mencari beliau di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.

Sejurus ditemui, mereka menghubungi pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Terdahulu pada Ahad, 5 Julai lalu, Agus dikatakan menunggu bas di perhentian bas simpang Sebauh untuk pergi ke Terminal Bas Medan kerana ingin pulang ke Indonesia.

Difahamkan pada hari sama, isteri mangsa turut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa suaminya tidak akan pulang ke Indonesia lagi kerana sudah dibunuh olehnya.

Isterinya yang bimbang dengan keselamatan suaminya terus meminta bantuan rakan-rakan suaminya untuk mencari beliau di kawasan sekitar sehinggalah mereka menjumpai mayat mangsa di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.

Menurut sumber, terdapat saksi yang melihat mangsa telah dihampiri oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang menunggu bas di perhentian bas berkenaan.
Tidak lama kemudian, menurut sumber, beliau melihat lelaki bermotosikal itu bertindak mengejar mangsa yang berlari ke kawasan ladang berkenaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi pemeriksaan lanjut. - UB

Di jangka 700,000 pengunjung bakal memeriahkan Festival Kuching 2015


KUCHING: Pesta Makanan yang menjadi tumpuan utama dalam Festival Kuching akan kembali pada skala lebih besar tidak lama lagi dengan kepelbagaian sajian untuk orang ramai.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan berkata, kali ini terdapat penambahan sebanyak 100 buah tapak lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 228 gerai makanan.

“Pesta Makanan Festival Kuching akan datang bakal menampilkan lebih banyak makanan.

“Sebelum ini, kebanyakan gerai menumpukan makanan ala Taiwan namun kini, para pengunjung juga berpeluang menikmati makanan Barat selain makanan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerimaan Tajaan RM40,000 daripada Magnum 4D (Malaysia Timur) Sdn Bhd untuk Pesta Makanan di bangunan MBKS di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Magnum 4D Negeri Suy Kok Yik dan Pengerusi Pesta Makanan Festival Kuching Tan Kay Hok.

Chan pada masa sama turut menggalakkan golongan belia untuk merebut peluang menyertai gerai makanan dalam festival tersebut.

Menurutnya, ia merupakan landasan yang baik lagi sesuai untuk berjinak-jinak serta mencuba kemahiran dalam bidang perniagaan.

“Golongan belia boleh mencuba bakat dalam berniaga dengan membayar sewa gerai yang minimum memandangkan selebihnya ditaja Magnum.

“Saya yakin penyertaan daripada golongan tersebut meningkat tahun ini, berdasarkan respons menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Festival Kuching kali ini dijangka lebih meriah apabila penghibur dari Asia Timur seperti dari Jepun akan membuat persembahan dram tradisional, Korea (tarian tradisional) dan China (nyanyian opera).
Mereka akan membuat persembahan selama tiga malam, bermula 31 Julai pada malam pembukaan acara berkenaan.

Sementara itu, Suy berkata, syarikat itu akan terus memberi sokongan berterusan khasnya dalam bentuk tajaan program tersebut kepada MBKS dari semasa ke semasa.

“Ia bukan sahaja untuk kesejahteraan masyarakat malah dalam memantapkan sektor pelancongan di bandar raya berjiwa ini,” katanya.

Manakala Tan memberitahu, pihaknya menerima respons memberangsangkan dari segi penyertaan dalam gerai makanan dalam program berkenaan.

“Kami mahu memberi peluang kepada penjaja khasnya belia untuk berniaga dan kami menjangka dapat menarik hampir 700,000 pengunjung sepanjang 24 malam tersebut,” katanya. -UB

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menerima 121 panggilan kebakaran untuk bulan Julai



KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menerima 26 panggilan pembakaran terbuka di seluruh negeri semalam, berbanding 21 panggilan pada hari sebelumnya.

Penolong Pengarah Operasinya Farhan Sufyan Borhan berkata, kawasan yang terjejas adalah di Kuching, selain Bau, Sri Aman dan Sibu akibat kebakaran belukar dan sampah.

Kebakaran hutan turut dilaporkan berlaku di Ladang Tanjung Melano di Simunjan namun berjaya dipadamkan, katanya.

“Jumlah itu menjadikan jumlah kes berkenaan yang diterima dari 1 Julai hingga 6 Julai sebanyak 121  panggilan di seluruh negeri,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Mengulas mengenai kebakaran hutan membabitkan kawasan lebih 80 hektar di Kuala Baram Miri, katanya ia kini tinggal 30 peratus daripada 200 ekar.

Manakala kebakaran di Hutan Simpan Similajau, Bintulu dan kebakaran hutan di Jalan Datuk Mohamad Musa, Samarahan berjaya dipadamkan.

Orang ramai harus berhati-hati dan mengawal keadaan apabila melakukan pembakaran terbuka seperti untuk tujuan pertanian, katanya.

Beliau turut menegaskan tidak ada pembakaran terbuka di tanah gambut dibenarkan buat masa ini di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling. -UB

Tokong berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran di Pasir Pandak



KUCHING: Sebuah tokong Cina di Sungai Buah, Pasir Pandak di Santubong yang berusia lebih seabad hampir ranap dijilap api, malam kelmarin (Ahad).

Menurut bendahari jawatankuasa tokong berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Yii, dia bersama anaknya menghadiri jamuan kecil dan bersembahyang di rumah ibadat berkenaan sekitar jam 8 malam.

Ketika dalam perjalanan ke rumah, lelaki berusia 70 tahun itu tiba-tiba teringat mereka tertinggal sesuatu di kuil dan memutuskan untuk berpatah balik.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke kuil tersebut, kami ternampak api telah marak,” katanya sambil menambah mereka kemudiannya ke Balai Polis Santubong untuk membuat laporan polis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengerahkan dua jentera ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10 malam dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.

Kebakaran dipercayai bermula dari salah satu bilik di tokong berkenaan.



Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, sebuah stor di bangunan kediaman di Markas Polis Marin di Jalan Bintawa terbakar, semalam.

Menurut jurucakap bomba, dua pegawai dan tujuh anggota dikerah ke tempat kejadian susulan menerima panggilan pada jam 2.35 petang.

Ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

Punca kebakaran masih disiasat. - UB

Penjenayah Tegar Diberkas Polis Kuching



Pelanduk selalu lupakan jerat namun jerat tak mungkin lupakan pelanduk, begitulah situasi yang dialami oleh seorang penjenayah tegar apabila beliau dicekup oleh pihak polis ketika hendak menuntut motosikalnya di Balai Polis Satok hari ini.

Suspek lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke mahkamah dan diperintah untuk di tahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, yang dihubungi sebentar mengesahkan tangkapan sambil berkata sekurang-kurangnya satu kes Samseng Jalanan telah diselesaikan dengan penangkapan tersebut.

Menurut Roslan, dalam kejadian lebih kurang jam 11 pagi semalam, seorang suri rumah berumur 36 tahun didatangi oleh suspek ketika memandu keretanya di persimpangan lampu isyarat SJKC Chung Hua No. 6 di sini.

"Cermin kereta yang dipandu oleh pengadu telah di ketuk oleh seorang suspek yang tidak di kenali yang kemudiannya mengarahkan mangsa keluar dari kereta tersebut."



"Oleh kerana ketakutan, mangsa meneruskan perjalanannya dan suspek bertindak mengejarnya mengunakan sebuah motosikal sebelum membaling objek yang di percayai sebiji batu ke arah cermin kenderaan mangsa."

Roslan menambah, secara kebetulan, kejadian di lihat oleh adik mangsa yang kemudiannya memintas motosikal yang di tunggangi saspek dan berlakulah pergelutan sebelum suspek melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian.

Sehubungan itu, Roslan menyeru kepada orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada suspek untuk tampil membuat laopran polis agar tindak sewajarnya di ambil.

Untuk rekod, suspek yang sama telah diberkas polis kerana kesalahan jenayah dengan modus operandi yang hampir serupa  tidak berapa lama dahulu. - Sarawakiana

Tuesday, 7 July 2015

Miri Akan Alami Keadaan Angin Kencang Dan Laut Bergelora



MIRI: Bahagian Miri akan mengalami keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bermula semalam dan diramal berlarutan sehingga 12 Julai ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam laman web rasminya yang dikeluarkan jam 11.58 pagi semalam, memberitahu bahawa angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak.

Bagi Sabah, angin kencang itu dijangka melanda kawasan pedalaman negeri dan pantai baratnya manakala di Sarawak hanya Miri sahaja.

Angin kencang dengan ombak dijangka mampu mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter atau 11 kaki diramal berterusan sehingga Ahad. - UB

Rakyat Sarawak Kecam Teresa Kok Perbandingkan Pakaian Tradisional Iban



Rata-rata netizen, khususnya dari Sarawak mengecam status FB Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP) yang membuat perbandingan kostum Iban dengan pakaian yang di larang memasuki mana Pejabat Kerajaan.

Penulis petik salah satu komen berkaitan perkara ini (sudah di terjemah):

"Apa sakit Teresa Kok ini? Kostum Iban adalah kostum Iban, apa kaitannya dengan mereka yang menggunakan skirt pendek dan kalau boleh, mereka masuk ke pejabat dengan berbogel. Beza kostum Iban dengan pakaian menjolok mata adalah maruah. Kostum Iban dipakai untuk menunjukkan tradisi dan kami berbangga dengan budaya kami."

Satu lagi komen yang penulis rasa menarik adalah:

"Teresa Kok buta sejarah. Padanlah diharamkan dari memasuki Sarawak. Sebagai seorang pemimpin masyarakat, Teresa Kok seharusnya boleh membezakan pakaian tradisional Iban dan pakaian yang menjolokkan mata. Apakah secara logiknya, seseorang itu menggunakan kostum Iban untuk masuk berurusan di Pejabat Kerajaan? Tolong jangan hina rakyat Sarawak."

Seorang netizan lagi berkata:

"Apa yang Teresa cuba bangkitkan, membandingkan kostum tradisional Iban dengan etika pemakaian ke pejabat kerajaan adalah satu penghinaan bagi kami kaum Dayak."

Teresa, pada status FBnya berkata, apabila beliau masuk ke Gereja Divine Mercy di Shah Alam untuk menghadiri sambutan Gawai dan Kaamatan, beliau tertarik dengan kostum lelaki Iban yang merupakan setengah bogel ataupun "tidak tutup aurat" ini.

Pakaian tradisi Iban ini memang akan dilarang masuk pejabat kerajaan dengan kod pakaian Perkhidmatan Kerajaan sekarang.

Tapi pakaian dan kostum sebegini memang telah menjadi sebahagian daripada budaya yang beraneka-corak di Malaysia.

Inilah kostum dan budaya yang harus dipelihara kerana ia telah menjadi ciri dan tarikan pelancongan di Malaysia, katanya lagi. - Sarawakiana

Monday, 6 July 2015

Menyingkap Kisah Batu Misteri yang terdapat di Sarawak

1.Batu Boyak (Buaya), Santubong 



Kisah legenda ini berlaku semasa Datuk Merpati telah memenggal kepala buaya yang telah mengganas dan menyumpah kepala buaya itu menjadi batu. Batu buaya ini juga ada hubung kait dengan kisah dua puteri lagenda Sarawak. Di batu buaya inilah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang tiba selepas berlayar keluar dari Brunei.

Di lokasi ini jugalah, Sultan Tengah telah di bunuh oleh pengikutnya yang khianat setelah kembali dari Matan.

2.Batu Kinyang, Jalan Rock



Batu ini terletak bersebelahan dengan kuil Hindu berhampiran bangunan Wisma Saberkas. Batu ini dikatakan boleh membesar dan mempunyai kulit yang boleh tertanggal. Pada zaman dahulu Ia dijadikan tempat untuk memohon hajat

Kisah bermula apabila seorang lelaki berketurunan Jawa yang tertidur di atas batu ini setelah seharian penat bekerja. Ketika tertidur, dia telah bermimpi didatangi oleh seseorang kemudian terus berhajat untuk mendapat zuriat. Tidak lama kemudian selepas itu, dia telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Apabila cerita diketahui umum, ramai penduduk mula memohon hajat dibatu itu sehinggalah pada suatu hari, hikmat batu itu hilang apabila sebuah kandang sembelihan khinzir dibuka berhampiran.

Berdasarkan catatan W.J Chater, Rajah Kedua, Charles Brooke pernah berniat untuk meletupkan batu tersebut dan menggunakan serpihan batu itu untuk membina jalan raya tetapi niat beliau dibatalkan atas desakan penduduk tempatan.


3.Sea Stack, Taman Negara Bako



Terletak di Taman Negara Bako dan merupakan antara 10 Sea Stack keajaiban dunia. Ia berbentuk seperti kepala ular tedung  yang timbul atas permukaan air. Tempat ini telah dirasmikan pada tahun 1957 dan  merupakan taman negara tertua di Sarawak. Tidak ada kisah misteri disebalik kewujudan batu ini namun yang pasti ia adalah kehebatan cipataan Allah yang maha esa.

4.Batu Katak, Jalan Sibu-Bintulu




Batu ini berbentuk bongkah batu yang kelihatan seperti katak. Batu ini berlubang-lubang dan terdapat bermacam-macam contengan seperti nombor dan barang-barang pemujaan. Keadaan ini amat membimbangkan orang ramai kerana kepercayaan syirik ini.

Kisah batu ini bermula apabila seorang lelaki berhajat ke atas batu ini untuk mendapat "1st prize" untuk judi nombor ekor. Oleh kerana hajatnya tercapai, lelaki itu membina tokong di Batu ini sebagai tanda terima kasih. 

Ada kisah lain di sebalik batu ini  seperti kelihatan perempuan berbaju putih dan lembaga menakutkan. 

Batu ini penah cuba untuk diletupkan ketika membina jalan raya dengan menggunakan 'dynamite' dan 'bulldozer' tetapi kedua-duanya tidak berjaya. Oleh sebab itu Batu masih kekal di situ.

5.Batu Gong, Katibas, Song



Batu ini kelihatan seperti gong yang kemek. Batu ini pada asalnya dikenali dengan nama "Batu Bedawak @ Tawak" (tawak = gong). Memandangkan masyarakat lebih sinonim dengan perkataan "gong", namanya kini lebih dikenali sebagai "Batu Gong" . 

Menurut legenda, terdapat seekor raksasa bernama Remaung telah mengganas di Sungai Katibas dan memakan manusia. Seorang pahlawan bernama Bungai Nuing telah memerangkap Remaung ke dalam seketul batu dan menutup pintu masuk batu itu dengan batu yang digumpal-gumpal. Terperangkap di dalam batu tersebut, Remaung akhirnya mati dan kini batu tempat Remaung menemui maut dilihat seperti gong.

6.Batu Bergambar, Sungai Jaong, Santubong.



Batu yang mempunyai imej manusia yang berusia ratusan tahun dipercayai tinggalan artifak penduduk Santubong yang terkenal dengan aktiviti berdagang dengan pedagang China, Arab dan India pada kurun ke-11. 

Penemuan Batu Bergambar menjadi rujukan para arkeologi untuk mengkaji aktiviti kehidupan, kesenian serta penukaran ilmu pengetahuan hubungan luar pada waktu itu. Batu ini telah membawa kepada penemuan artifak tua dari dinasti Tang dan Sung di China. Terdapat 10 batu berukir dan barang dagangan seperti tembikar, manik, gangsa, perak dan emas. 

Replika batu ini boleh dilihat di Muzium Tun Abdul Razak, Kuching. 

7.Batu Nabau, Sungai Bukong, Engkelili.




Batu ini berbentuk panjang dan menyerupai seekor ular gergasi. Bukan itu saja, penemuan huruf jawi seperti alif, lam, ha, nun, mim dan sin yang terpisah menjadi persoalan ramai. Mungkin untuk kelihatan seperti ular, para pengamal agama mengecat batu ini agar lebih nampak seperti ular.


Kisah Batu Nabau mendapat liputan luas selepas seorang lelaki Siam bermimpi ular gergasi menjadi batu sehingga membawa penemuan beliau ke atas Batu ini. Menurut cerita orang tua-tua, Nabau ialah nama ular gergasi yang hadir secara misteri. Masyarakat Iban percaya jika Nabau muncul merentasi Sungai Baleh, banjir besar akan berlaku. 

Terdapat legenda lain berkaitan dengan Nabau, kononnya Nabau menjelma menjadi manusia dan memikat isteri seorang pahlawan. Berang dengan kelakuan Nabau, pahlawan tersebut menangkap dan mengerat Nabau menjadi tujuh bahagian dan dibuang ke jeram. Jeram itu kini dikenali sebagai Jeram Pelagus yang terletak di Sungai Rajang.

Sebenarnya ada satu lagi batu  seperti bentuk batu Nabau tapi bentuknya kecil sahaja.
















8.Batu Rasak, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu

Batu Rasak yang berbentuk Unta


Menurut penduduk tempatan, lokasi batu ini sukar didekati kerana ia dianggap sebgai tempat 'keras'. Batu ini tersembunyi di dalam belukar dan kelihatan  dalam pelbagai bentuk. Ada seperti orang tegak, orang duduk, wanita mengendong anak, batu berbentuk kerusi, perempuan bertudung, kura-kura dan unta.

Kedudukannya bertaburan dan menjadi perhatian pelancong tetapi tidak semua dapat melihat batu tersebut secara dekat kerana terdapat kejadian pengunjung yang dirasuk dan histeria. 

Batu Rasak yang berbentuk kura-kura
Menurut penceritaan orang tua-tua, kisah berlaku kira-kira 200 tahun yang lalu di mana kawasan ini telah disumpah kerana perbuatan mereka ketika majlis keramaian, mentertawa rasa daging tupai tidak seenak daging kura-kura.

Tiba-tiba, hujan turun dengan lebat berserta kila dan akhirnya mereka semua telah bertukar menjadi batu.