Pages

Monday, 27 November 2017

Sarawak mahu Najib terus jadi PM, kata ketua menteri


SARAWAK mahu Najib Razak kekal sebagai perdana menteri kerana beliau mempunyai amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa mendengar masalah rakyat, kata Ketua Menteri Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Ini, katanya, ia terbukti apabila perdana menteri  menangani  permohonan Sarawak berkaitan tuntutan terhadap hak-hak negeri itu yang terhakis sejak pembentukan Malaysia.

Menurutnya, Najib telah berjanji untuk mengembalikan hak-hak berkenaan kepada Sarawak sekiranya ia benar-benar terbukti dan termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia dahulu.

“Jadi kita rakyat Sarawak sangat bernasib baik, jangan ditukar Najib (daripada jawatan perdana menteri). Oleh itu kita mesti berjuang bersungguh-sungguh untuk menentukan  Najib terus jadi perdana menteri,” katanya.


Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berucap merasmikan mesyuarat perwakilan lima cawangan PBB di kawasan Sibu iaitu Bawang Assan, Dudong, Pelawan, Bukit Assek dan Nangka di Sibu hari ini, yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan.

Sehubungan itu, Abang Johari mengajak rakyat Sarawak terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menuntut semula hak-hak Sarawak dan berterima kasih kepada Najib.

Katanya semua tuntutan melibatkan hak Sarawak yang telah terhakis tersebut dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan emosi.

Sementara itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin muda dalam PBB yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, supaya tidak gopoh dan berebut-rebut untuk menjawat jawatan-jawatan dalam parti.

Katanya PBB sememangnya memberi peluang kepada pemimpin muda dan melatih mereka untuk mengambil mereka menerajui pucuk pimpinan parti apabila tiba masanya.

“Kita dalam PBB mempunyai budaya, pemimpin bertukar ganti, kita latih orang muda. Jadi orang muda jangan gopoh dan berebut-rebut kerana ini akan menimbulkan kelam-kabut dalam parti,” jelasnya. – Bernama, 26 November, 2017.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment