Pages

Sunday, 30 August 2015

Penganjur BERSIH 4.0 Hentikan Perhimpunan Ekoran Kebiadapan Pemimpin DAP Sarawak



KUCHING: Pengerusi Bersih 4.0 Kuching Nicholas Mujah mengumumkan program Himpunan Bersih 4.0 di Padang Song Kheng Hai, Padungan dihentikan malam tadi dan pagi ini serta merta.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ACP Roslan Bek Ketua Polis Daerah Kuching pada jam 11.30 malam untuk memaklumkan akan hal ini dan sebarang aktiviti yang diadakan tidak lagi menjadi tanggungjawab penganjur BERSIH 4.0.

"Kami terpaksa mengambil keputusan menghentikan program BERSIH 4.0 Kuching adalah ekoran beberapa aksi provokasi yang dilakukan oleh pemimpin dan penyokong DAP bermula di tempat berkumpul mereka di hadapan Hilton Hotel sejak jam 1.30 petang (semalam) pada 29 Ogos 2015.

"Tidak cukup dengan itu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan pengikutnya berarak sambil menggunakan pembesar suara melaungkan "TURUN NAJIB" dan membawa placard yang berbentuk provokasi terhadap YAB PM.

Pengikut DAP juga menggunakan kekerasan terhadap penganjur BERSIH 4.0 apabila diarahkan tidak menggunakan pembesar suara dan membawa placard provokasi.

Begitupun Chong Chieng Jen tidak menghiraukan arahan penganjur dan meneruskan perarakan sambil melaungkan "TURUN NAJIB" sepanjang perjalanan ke Padang Song Kheng Hai.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin DAP seperti Violet Yong dan Abdul Aziz Isa telah mengunakan pentas BERSIH 4.0 untuk mengutuk Perdana Menteri yang sepatutnya tiada dalam agenda BERSIH 4.0.

"Kami juga terpaksa memotong nama Chong Chieng Jen daripada senarai penceramah dengan digantikan dengan YB Violet Yong namun kesannya tetap sama.

Pada sebelah malamnya, DAP telah menggunakan peluang yang ada untuk menganjurkan sesi ceramah politik kepada kira-kira 400 orang pengikut yang majoritinya dari golongan muda Cina.

"Ceramah yang sepatutnya dihentikan pada jam 11.30 malam tetapi pemimpin DAP yang mendominasi pentas ceramah tidak memperdulikannya.

"Akibatnya Chong Chieng Jen dan pembantunya Abdul Aziz Isa telah bertengkar dengan penganjur BERSIH 4.0 Nicholas Mujah dan Peter John Jaban.

Dalam pertengakaran itu, pemimpin DAP mengatakan sekiranya mereka berhenti ceramah, penganjur BERSIH 4.0 juga perlu meninggalkan padang dan tiada aktiviti berkhemah disitu atau menanggung akibat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Atas sebab-sebab seperti di atas, penganjur mengambil keputusan untuk menghentikan program BERSIH 4.0 dan program yang dijadualkan pada 30 Ogos dibatalkan.

Friday, 28 August 2015

Penentangan Ke Atas Pentadbiran Brooke pada tahun 1841-1930an

Bukan mudah untuk membina sebuah Negara…. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila kita memulakan bicara tentang sebuah Negara yang aman dan damai. Kata-kata ini bolehlah kita terapkan di dalam satu lagi informasi sejarah sumber perkongsian artikel kali ini. Apa yang akan dipaparkan adalah merujuk kepada sejarah penentangan-penentangan daripada bangsa Sarawak suatu waktu dahulu ke atas pentadbiran Brooke iaitu Rajah Bangsa Eropah yang pernah memerintah Sarawak selama lebih 100 tahun.

Sebagai seorang Rajah yang baru disebuah negara yang baru yang bergelar Sarawak Kingdom pada ketika itu usaha pertama yang Rajah James Brooke adakan adalah dengan cuba menghakis pengaruh Kesultanan Brunei di dalam pola kehidupan masyarakat Sarawak pada masa itu. Di awal pemerintahannya, kesemua pembesar-pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei telah diketepikan dan beliau melantik pemimpin-pemimpin Melayu, Dayak dan kaum Cina yang menyokong beliau selama ini untuk dijadikan pembesar-pembesar di Sarawak.


Antara masyarakat Melayu yang dijadikan pembesar adalah Datu Patinggi Ali, Dato Temenggung Marsal, Datu Bandar Kanca Muhammad Lana dan Pengiran Matusin. Pada ketika itu juga Rajah James Brooke telah mengadakan peraturan-peraturan serta undang-undang mengikut sistem pemerintahan Inggeris iaitu tempat asalnya, England. Walaupun ada yang menyokong pemerintahan Brooke namun ramai juga yang tidak menyetujui dasar pemerintahan baru yang diperkenalkan oleh Brooke di bumi Sarawak suatu waktu itu.

Penentangan masyarakat Melayu

Ketika banyak wilayah Sarawak menjadi tanah kuripan kepada pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dahulu, sekumpulan pembesar-pembesar berketurunan Melayu Arab seperti golongan Syarif telah membina pengaruhnya tersendiri di Saribas dan Skrang. Mereka ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada masyarakat Iban yang di Saribas, Skrang dan Batang Lupar. Dan kesemua mereka tidak menyetujui pembaharuan yang diperkenalkan oleh Brooke kerana ini akan menjejaskan sumber pendapatan mereka daripada pungutan cukai dan juga pengaruh mereka semakin berkurangan.

Di ketika inilah munculnya gerakan penentangan oleh Sharif Sahap yang tertumpu di Sibu. Di ketika itu Rajah Brooke telah menggunakan segala yang ada untuk memungkin beliau menguasai industri penanaman sagu yang sangat berharga pada masa itu di pasaran dunia. Gerakan yang didokongi oleh Sharif Sahap yang menguasai Skrang dan adiknya Sharif Mullah yang menguasai Saribas. Pengaruh mereka terlalu kuat di kalangan masyarakat Melayu dan juga Iban di Saribas, Skrang dan Batang Lupar itu menjadikan Rajah James Brooke tidak senang duduk. Pada tahun 1842, Sharif Sahap telah membuat satu perancangan yang teliti untuk menyerang Brooke di Kuching tetapi ianya tidak dibatalkan kerana dikatakan rahsianya sudah bocor dan Rajah James Brooke sudahpun bersedia dengan segala kemungkinan itu.

Kapten Henry Keppel
Dengan alasan untuk memerangi lanun, akhirnya Rajah Brooke telah berjaya meyakinkan kerajaan British untuk membantu beliau. Pada tahun 1844, Kapten Henry Keppel dan armada perang HMS Dido dan HMS Phlegathon datang menghulurkan bantuan dan gerakan penentangan Sharif Sahab dan Sharif Mullah berjaya dikalahkan di Pemutus dan Undup. Di dalam perang ini, kedua-duanya berjaya meloloskan diri dan mereka kemudiannya bersatu dengan Syarif Jaafar di Lingga. Pemburuan mereka tidak terhenti malah Rajah James Brooke dan armada tenteranya menjejaki mereka sehingga ke Kapuas dan akhirnya memaksa mereka berundur ke Pontianak. Akhirnya Sharif Sahab menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pontianak.

Sharif Mullah dan Sharif Jaafar berserta dengan masyarakat Iban Skrang telah sekali lagi cuba menyerang James Brooke di Kuching pada tahun 1845 namun cubaan serangan ini tidak berjaya dan hanya berlaku sekerat jalan. Akhirnya Rajah James Brooke memberikan pengampunan kepada Sharif Mullah dan hanya dibenarkan untuk menetap di Skrang. Manakala Sharif Jaafar pula dilucutkan jawatan pembesar Lingga dan dikenakan perintah untuk tinggal di Sadung. Mana-mana pemimpin Iban yang bersekongkol juga diampunkan dan hidup seperti biasa di kawasan masing-masing tanpa jawatan dan menjadi rakyat biasa. Selepas itu gerakan ini reda.

Sekitar tahun 1854 – 1861 muncul pula satu gerakan penentangan yang didokongi oleh Syarif Masahur. Syarif Masahur merupakan pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dan sehingga zaman Brooke memerintah penguasaan beliau masih lagi diiktiraf. Beliau tidak berpuashati dengan pemerintahan Brooke yang seperti memperkecilkan kewibawaannya memerintah Sarikei pada masa itu. Dan ini menyebabkan beliau bersama-sama dengan masyarakat Iban di kawasan Kanowit dan Sungai Rejang bangun menentang pemerintahan James Brooke.

Syarif Masahur
Pada tahun 1855, satu ketegangan telah berlaku apabila Pengiran Matusin yang menjadi penyokong kuat Rajah James Brooke telah membunuh Pengiran Arshad iaitu pemerintah di Mukah. Pengiran Arshad merupakan ayahanda mentua kepada Syarif Masahur dan ini menyebabkan Syarif Masahur menyerang Mukah bagi menuntut bela atas kematian ayahanda mentuanya dan menghalau Pengiran Matusin daripada bumi Mukah pada waktu itu. Di ketika itu beliau juga mendapat bantuan daripada masyarakat Iban Kanowit dan Sungai Rejang. Namun serangan ini berjaya dipatahkan dan akhirnya Syarif Masahur dilucutkan jawatannya sebagai pembesar di Sarikei.

Pada 25hb Jun 1859, 2 orang penjawat Eropah iaitu Charles Fox dan Henry Steele telah dibunuh di Kubu Emma. Pembunuh kedua-dua penjawat Eropah ini dikatakan Sawing dan Sakalai iaitu antara mereka yang setia dengan pemerintahan Sharif Masahur. Sebenarnya pembunuhan kedua-dua penjawat bangsa Eropah ini ada kena mengena dengan sentiment anti barat di Banjarmasin 1859 iaitu ketika itu ramai nyawa bangsa Eropah mati ditangan masyarakat Dayak di sana dan ianya merebak sehingga ke bumi Sarawak pada masa itu. Sawing dan Sakalai ini akhirnya ditangkap dan dipenjarakan.

Pada tahun 1860, Sharif Masahor telah bersama-sama dengan Pengiran Temenggung Hashim Jalil dari Brunei turut sama di dalam gerakan Sharif Masahur. Pada ketika itu Pengiran Temenggung Hashim Jalil telah diarahkan untuk ke Pontianak bagi mengatur strategi dengan Datu Patinggi Abdul Ghafur yang hidup dalam buangan di Pontianak. Seharusnya komplot mereka untuk membunuh Brooke dimulai di Sungai Batang Rejang dan seterusnya menyerang Kuching namun pakatan ini dapat dihidu dan akhirnya dengan bantuan pihak Belanda di Pontianak, Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abdul Ghafur telah ditangkap dan dipenjarakan di Batavia.

Pada Februari 1860, perang Sharif Masahor dengan armada tentera Rajah Brooke tidak dapat dielakkan maka berlakulah perang di Batang Rejang. Di dalam perang tersebut, Sharif Masahur dan pengikut-pengikutnya kalah dan ramai yang terkorban. Syarif Masahor pula berjaya meloloskan diri ke Sarikei dan kemudian ke Igan.

Charles Brooke
Dalam pemburuan inilah armada Brooke yang dipimpin oleh Tuan Muda Charles Brooke telah memusnahkan rumah-rumah pengikut Sharif Masahur di Sarikei dan Igan. Syarif Masahur memohon perlindungan daripada iparnya iaitu Pengiran Nipa di Mukah. Pengiran Nipa bersatu dengan Sharif Masahor dan pada bulan Ogos armada Brooke cuba mengalahkan Pengiran Nipa di Mukah namun tidak berjaya.

Setelah tidak berjaya menangkap Sharif Masahor dan juga menyerang Pengiran Nipa di Mukah, akhirnya Rajah Brooke memohon kerjasama daripada Sultan Mukmin untuk memerintahkan Syarif Masahor keluar dari Mukah. Melalui perundingan akhirnya Syarif Masahor menurut perintah Sultan Mukmin dan beliau kemudiannya dibuang ke Selangor dan meninggal dunia di Selangor pada tahun 1890. Pengiran Nipa pula dilucutkan jawatan dan akhirnya Rajah Brooke melantik Pengiran Matusin sebagai pembesar di Mukah.

Penentangan Masyarakat Cina

Sebenarnya kedatangan masyarakat Cina di Sarawak telah berlaku lebih awal lagi iaitu semenjak pembukaan lombong-lombong antimoni dan emas di kala pemerintahan Pengiran Mahkota lagi. Dan ianya di dalam skala besar apabila Rajah Brooke memerintah kerana dasar Brooke yang mahukan mereka membina ekonomi bagi Sarawak Kingdom pada masa itu.

Pada tahun 1857, muncul pula gerakan penentangan oleh masyarakat Cina yang menjadi pelombong di Bau. Mereka adalah daripada masyarakat Cina Hakka yang berasal dari Sambas dan mereka sudahpun berada di Sarawak sekitar tahun 1820an lagi. Golongan ini membuat kongsinya sendiri yang dinamakan San-Tiau Kou dan Ta-King. Kedua-dua pertubuhan kongsi ini bersatu padu dengan mengusahakan lombong-lombong di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.

Apabila Brooke memerintah banyak urusan lombong-lombong antimoni dan emas diberikan kepada Borneo Limited iaitu sebuah syarikat yang menjadi hak milik Kerajaan Sarawak. Dasar ini tidak disenangi oleh kumpulan kongsi ini dan bermulala penentangan daripada mereka.

Sebenarnya Rajah Brooke tidak menggemari kesatuan kongsi-kongsi ini kerana dikatakan mereka seperti telah menubuhkan “negeri di dalam negeri” ketika itu. Kesatuan kongsi-kongsi ini dikatakan mempunyai sistem kehakiman tersendiri, membuat senjata, menggunakan matawang sendiri malah mengibarkan bendera mereka sendiri tidak bendera Sarawak Kingdom. Keadaan ini harus dihentikan maka muncullah sebuah syarikat perlombongan Sarawak sendiri di dalam memastikan pengaruh ini tidak terus menular.

Selain daripada itu pada tahun 1852, Rajah Brooke telah mewujudkan Daerah Bau di dalam peta Sarawak. Masyarakat cina dibenarkan melantik kapitan daripada bangsa Cina dengan pada masa yang sama seorang Kapitan Inggeris juga akan berada di Bau di dalam usaha mengawal pengaruh mereka di Bau. Pada ketika inilah Brooke telah menggunakan kuasanya dengan tidak membenarkan ahli kongsi membuat keputusan-keputusan penting seperti mengendalikan kes jenayah dan juga dengan sesuka hati mengambil tanah milik masyarakat tempatan di Bau malah membina parit pun tidak dibenarkan.

Jika dahulunya candu merupakan makanan bagi masyarakat Cina tetapi ketika di era pemerintahan Brooke, undang-undang Candu menjadi peraturan yang menjadi duri dalam daging bagi mereka. Masyarakat Cina Hakka juga tidak menyetujui untuk sumber ekonomi mereka sama-sama dikongsi dengan masyarakat Cina Hokkien dan Teochew di Kuching kerana ini adalah permusuhan lama antara mereka sejak dahulu lagi.

Akhirnya pada 18hb Februari 1857, lebih kurang 600 orang masyarakat pelombong Cina Hakka di Bau telah berangkat dari Tundong ke Kuching dan menyerang kediaman Rajah Brooke. Serangan yang tidak diduga ini hampir membunuh Rajah Brooke sendiri kerana beliau sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke Sungai Sarawak dan memohon perlindungan daripada perkampungan Melayu di tepi Sungai Sarawak pada masa itu. Selama 3 hari, Kuching menjadi tawanan kepada pelombong-pelombong Cina yang akhirnya berjaya dikalahkan oleh armada tentera Tuan Muda Charles Brooke yang disertai oleh masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak akhrinya berjaya menawan Kuching kembali.

Selepas itu pemburuan kepada pelombong-pelombong Cina Hakka ini diteruskan sehingga melepasi sempadan. Di kala inilah diceritakan pelombong-pelombong Cina Hakka ini tidak terkecuali anak dan isteri mereka yang bersembunyi menyelamatkan diri juga turut dibunuh oleh tentera Brooke di dalam memastikan tiada lagi ancaman daripada pelombong-pelombong ini.

Penentangan Masyarakat Dayak Sarawak

Masyarakat Dayak juga bangun menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak. Sejarah telah membuktikan bahawa Gerakan Rentap yang dimulai pada tahun 1849 – 1861 telah banyak membuatkan Rajah Brooke “pusing kepala”. Banyak ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan oleh Brooke bagi memastikan pengaruh penentangan yang dikelola oleh Rentap ini tidak menular di bumi Sarawak pada masa itu.

Pada 31 Julai 1849, Perang Banting Maru berlaku antara Rentap dengan pengikutnya melawan armada tentera Brooke yang juga dianggotai oleh masyarakat Iban yang menyokongnya. Kubu di Tabbat menjadi benteng pertahanan Rentap dan dia mendapat sokongan padu daripada iban di Skrang dan Saribas. Brooke pula membina kubu di Lingga namun ianya masih tidak berkeupayaan untuk menyekat kemaraan Rentap dan pengikutnya.

Pada bulan Disember 1852, Rajah Brooke telah datang ke Skrang untuk berunding dengan Rentap namun ianya tetap ditolak oleh Rentap. Akhirnya bermula pada bulan Ogos 1854, dengan bantuan masyarakat Melayu dan dayak sendiri berserta dengan armada tentera Brooke satu ekspedisi telah dihantar untuk menghapuskan pengaruh Rentap dan pengikutnya di Sarawak. Perang di Bukit Saduk 1857 adalah perang yang paling epik apabila sebanyak 2 kali armada Brooke cuba untuk menguasai Kuta Rentap di Bukit Sadok namun menemui kekalahan. Hanya ekspedisi ketiga yang berjaya itupun kerana meriam yang digunakan oleh Rentap tidak berfungsi barulah armada tentera Brooke berjaya menawan Kuta Rentap. Namun didalam perang ini, Rentap yang cedera berjaya meloloskan diri dan berundur ke Entabai dan Julau dan akhirnya beliau meninggal dunia akibat sakit tua.

Sekitar tahun 1875, satu penentangan telah berlaku yang didahului oleh masyarakat Iban Hulu Batang Lupar yang dipimpin oleh Ngumbang. Puncanya adalah keengganan masyarakat Iban Hulu Batang Lupar untuk membayar cukai pintu kepada pemerintahan Brooke. Ekspedisi yang dihantar untuk menghalang pengaruh Ngumbang telah dijalankan namun ianya tidak berhasil sehinggalah pada tahun 1886, Ngumbang bersetuju untuk berdamai dengan kerajaan Brooke maka redalah penentangan yang dibuat oleh Ngumbang dan pengikut-pengikutnya.

Pada tahun 1890 – 1908, muncul pula penentangan yang dipimpin oleh Bantin. Bantin adalah anak Iban kelahiran Delok dan beliau juga digelar Ijau Layang. Beliau sebenarnya pernah terlibat melawan pemerintahan Brooke pada tahun 1875 dibawah Ngumbang di Bukit Seligi. Penentangan Bantin ini bermula apabila masyarakat Iban pada masa itu tidak dibenarkan untuk berpindah randah seperti apa yang biasa mereka lakukan. Peraturan Brooke yang tidak membenarkan mana-mana masyarakat Dayak untuk berpindah randah membuka kawasan baru telah menjadi duri dalam daging bagi Bantin.

Bantin dan pengikut-pengikutnya tidak memperdulikan apa jua peraturan Kerajaan Brooke pada masa itu disifatkan sebagai penentangan kepada undang-undang Sarawak Kingdom. Bantin sebenarnya tidak memusuhi Kerajaan Brooke tetapi memusuhi Bailey yang merupakan penjawat Eropah yang menjadi Residen di Bahagian Kedua pada akhir tahun 1890. Bailey langsung tidak memberikan ruang kepada masyarakat Iban di bahagian kedua untuk membuat sesuatu yang mereka telah lakukan berabad lamanya.

Akhirnya pada 1896, Bailey sendiri mengetuai satu ekspedisi untuk menangkap Bantin. Pada masa itu Bailey dan anggota keselamatan Sarawak  dikatakan telah berjaya membunuh anak saudara Bantin dan membawa mayat anak saudaranya ke Skrang. Bantin dan pengikutnya tidak berdiam diri sebaliknya melancarkan perang habis-habisan ke atas Bailey di Skrang. Bailey dan pengikutnya yang kalah telah berundur dari Skrang dan akhirnya Rajah Brooke menghantar Panglima Dalam Munan dari Rejang untuk mengajar Bantin.

Pada bulan Disember 1901, sekali lagi keadaan menjadi kacau bilau apabila salah seorang pemuda Iban yang tinggal di sempadan Kalimantan telah dibunuh di Sermat. Dengan secara tertib pihak Kerajaan Brooke telah mengambil langkah memenjara pembunuh-pembunuh dan membayar pati nyawa kepada keluarga Iban tersebut. Namun begitu, Bantin yang mempunyai kaitan persaudaraan dengan si mangsa tidak berpuas hati dan mula menyerang rumah panjang pembunuh-pembunuh itu di Sermat antara bulan Mac sehingga Mei 1902.

Rajah Brooke yang hilang sabar atas Bantin akhirnya menghantar satu ekspedisi menghapuskan Bantin pada Jun 1902. Ketika itu dikatakan Rajah Brooke menghantar tentera seramai 12000 orang untuk menghapuskan Bantin. Namun sekali lagi ekspedisi kepada Bantin menemui kegagalan kerana dikatakan ramai tentera yang terkorban kerana wabak kolera yang menyerang pendalaman Sarawak pada masa itu. Setelah itu dikatakan ramai masyarakat Dayak di Hulu Batang Lupar sudah mula mengiktiraf undang-undang Rajah Brooke dan Bantin sendiri telah berpindah ke Sungai Leboyan, Kalimantan dan meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 1930an.

Pada tahun 1930 – 1932 muncul pula penentangan yang didokongi oleh Penghulu Asun. Sebenarnya Penghulu Asun ini berada di pihak Rajah Brooke sewaktu gerakan Bantin berlaku. Kerana beliau merupakan antara masyarakat Dayak yang menyokong kepimpinan Brooke akhirnya beliau dianugerahi dengan pangkat Penghulu. Beliau merupakan anak Iban dari Entabai dan menjadi Penghulu bagi kawasan Entabai sekitar tahun 1915.

Penentangan yang dipelopori oleh Penghulu Asun ini adalah kerana satu salah faham antara Penghulu Asun dengan CD Adam iaitu Residen Bahagian Ketiga pada masa itu. Pada tahun 1926, Penghulu Asun telah meletakkan jawatan penghulu dan menyerahkan semula barangan kebesaran yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada beliau. Punca perbalahan adalah kerana undang-undang migrasi yang dikuatkuasakan pada tahun 1926 oleh CD Adam. Penghulu Asun merasakan ianya keterlaluan kerana pada ketika itu sesiapa sahaja masyarakat Dayak yang hendak keluar dari kawasan di Bahagian Ketiga harus mendapat pas keluar dari Residen sesuatu yang tidak masuk akal baginya.

Selain daripada itu sekitar 1920 – 1930 an banyak undang-undang daripada Kerajaan Brooke yang telah menekan masyarakat Dayak di bumi Sarawak pada masa itu. Antara undang-undang yang dibuat adalah:

1. Cukai dikena 1 Sarawak Dollar bagi setiap bilik di rumah panjang tanpa mengira penghuninya janda ataupun orang miskin.
2. Cukai tambahan pula dikenakan untuk setiap tangga rumah panjang sebanyak 5 Sarawak Dollar
3. Cukai senapang patah dikenakan keatas semua masyarakat Iban yang mempunyai senjata.
4. Setiap rumah panjang hanya dibenarkan dibina yang boleh memuatkan 10 buah keluarga sahaja.
5. Jabatan Hutan Simpan dan Perhutanan yang ditubuhkan pada tahun 1920 an oleh Kerajaan Sarawak  telah menghentikan amalan tanaman pindah, penebangan hutan serta mengutip hasil hutan juga memburu binatang selain dengan kebenaran.

Dan inilah antara yang membawa kepada ketidakpuasan hati Penghulu Asun ketika itu sehingga dia yang pada mulanya seorang penyokong Kerajaan Brooke akhirnya menjadi musuh kepada Kerajaan Brooke sendiri. Akhirnya Penghulu Asun ini meninggal dunia pada tahun 1958.

Inilah satu sejarah panjang gerakan penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, Dayak dan Kaum Cina di Sarawak suatu waktu dahulu iaitu penentangan yang dilakukan sewaktu pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak pada suatu waktu itu iaitu dari tahun 1841 sehingga 1930an. Bukan senang untuk membina sebuah negara dan perumpamaan itu juga harus digunapakai untuk kita mendalami apa yang kita ada sekarang.

#KamekSayangSarawakBah!

Sumber : Borneo Oracle

Thursday, 27 August 2015

Peluasan Kuasa Brooke di Sarawak

Peluasan Kuasa Brooke di Sarawak

Sultan Omar Ali Saifuddin II
Penentangan di Sarawak 1836 - l84l
Sarawak merupakan sebahagian daripada Kesultanan Brunei di bawah Sultan Omar Ali Saifuddin II sebelum tahun 1836. Sarawak ditadbir oleh pembesar-pembesar tempatan dan pada mulanya kerajaan Brunei tidak campur tangan langsung dalam pentadbiran Sarawak.

Untuk memudahkan kerajaan Brunei menguasai ekonomi Sarawak dalam pengeluaran antimoni dan emas, Sultan Omar Ali Saifuddin II telah menghantar Pangeran Indera Mahkota (seorang bangsawan Brunei  sebagai wakil baginda untuk memerintah Sarawak.

Pembesar Melayu tempatan berasa amat kurang senang dengan perlantikan Pangeran Indera Mahkota. Mereka berpendapat ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi mereka. Dengan membina pusat pentadbiran di Kuching, Pangeran Indera Mahkota mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab pentadbiran serta punca kekuasaan daripada pembesar Melayu tempatan.

Keadaan ini menyebabkan Pembesar Melayu tempatan telah kehilangan monopoli perdagangan dan penguasaan ke atas lombong emas dan antimoni yang merupakan eksport utama Sarawak ketika itu.

Pangeran Indera Mahkota juga mengenakan cukai yang tinggi ke atas orang Melayu. Membeli hasil orang Melayu dengan harga yang rendah. Menindas orang Bidayuh sebagai buruh paksa di lombong-lombong antimoni miliknya.Sekiranya orang Bidayuh gagal menjelaskan hutang, anak isteri mereka akan dijadikan hamba abdi. Penduduk Sarawak dipaksa membeli barang daripada Pangeran Indera Mahkota dengan harga yang tinggi.

Oleh kerana merasa tertindas, orang Bidayuh. memulakan penentangan pada tahun 1836 dan turut disertai oleh orang Melayu yang dipimpin oleh Datu Patinggi Ali dan orang Dayak. Memandangkan kelemahan Pangeran Indera Mahkota untuk mematahkan penentangan, Sultan Brunei telah menghantar Pangeran Muda Hashim ke Sarawak.


Pakatan Pangeran Raia Muda Hashim dengan James Brooke

Pangeran Muda Hashim

Kebetulan pada waktu itu James Brooke merupakan seorang bekas tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan pengembara. Beliau telah tiba di Sarawak pada tahun 1839 dan telah diutuskan oleh Gabenor Singapura untuk memberi sepucuk surat kepada Pangeran Raja Muda Hashim.

Peluang ini digunakan oleh Pangeran Raja Muda Hashim memohon bantuan segera dari Brooke untuk mematahkan penentangan di Kuching. Sebagai balasan, James Brooke akan dilantik sebagai Gabenor Sarawak dan berkuasa mentadbir Sarawak sebagai wakil Sultan Brunei. James Brooke bersetuju dengan tawaran tersebut.



Cara Perluasan  kuasa Brooke di Sarawak

Pada tahun 1841 satu perjanjian telah diwujudkan dan ditandatangani antara James Brooke dengan Pangeran Raja Muda Hashim. Syarat-syaratnya ialah :

1.James Brooke diberi kuasa memerintah Sarawak serta iajahannya.
2.James Brooke diberi hak memungut cukai di Sarawak.
3.James Brooke bertanggungjawab dalam hal kewangan Sarawak.
4.James Brooke dikehendaki menghormati dan memelihara undang-undang serta adat-istiadat orang Melayu di Sarawak.



Sir James Brooke
Kesan Perjanjian 1841
James Brooke dilantik sebagai Gabenor dan Raja Sarawak pada 24 November 1841.

Faktor peluasan kuasa Brooke di Sarawak 1842

Pada tahun 1842 satu lagi perjanjina telah dibuat antara James Brooke dan Sultan Brunei. Sebab-sebab Perjanjian ini dibuat ialah :

1.James Brooke telah belayar ke Brunei untuk menghadap Sultan Brunei untuk memperkukuhkan kedudukannya.
2.Melihat kapal James Brooke yang diiringi oleh kapal-kapal tentera laut dari Singapura. Baginda merasa takut dan bimbang akan keselamatan Brunei. Oleh itu, baginda bersetuju menandatangai Perjanjian 1842.

Syarat-syarat Perjanjian 1842
1. Pelantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak mendapat pengiktirafan Sultan Brunei
2. Sebagai balasannya, James Brooke berjanji aka membayar ufti tahunan kepada Sultan Brunei.

Kesan-kesan Perjanjitn 1842
1.Melancarkan serangan ke atas petempatan peribumi dan satu demi satu kawasan Sarawak jatuh ke tangan Beliau.
2.Campur tangan dalam hal ehwal tempatan. 
3.Sistem Pemerintahan Dinasti Brooke amat menimbulkan rasa ketidakpuasan dikalangan pembesar Melayu dan masyarakat Sarawak sehingga terdapat beberapa penentangan terhadapnya.

Pramugari maut jatuh dari tingkat


Polis tidak menolak kemungkinan kematian seorang wanita yang ditemui berlumuran darah di bawah Apartment Green Avanue Bukit Jalil, Kuala Lumpur petang semalam berpunca daripada bunuh diri.

Mayat mangsa, Chong Nyuk Moi, 29, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh beberapa penduduk di situ pada jam 6.25 petang semalam (24 ogos 2015)



Jurucakap Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat seorang perempuan yang dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan itu pada jam 6.28 petang.

Katanya, beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat seorang perempuan yang lengkap berpakaian berada dalam keadaan tertiarap di atas jalan di bawah bangunan Blok B Green Avanue Bukit Jalil.

"Mangsa yang bekerja sebagai pramugari syarikat penerbangan MAS dipercayai mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bertindak terjun dari tingkap rumah di blok berkenaan berdasarkan bukaan pada tingkap dan juga selari dengan tempat dia jatuh.

"Tiada saksi melihat kejadian itu, tetapi dipercayai berlaku ketika hujan lebat sekitar jam 6.30 petang semalam," katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, polis turut menemubual seorang rakan mangsa yang tinggal serumah, tetapi tidak sedar kejadian itu berlaku kerana sedang tidur di bilik berasingan.

Bagaimanapun, katanya, rakan itu memberitahu pada awal pagi kejadian, mangsa dilihat menangis seorang diri di bilik tidurnya, tetapi tidak mengetahui punca yang berlaku.

"Namun, anggota polis menjumpai nota kecil yang diconteng dengan perkataan yang disyaki untuk membunuh diri terletak di atas katil dalam bilik tidur mangsa.

"Keadaan bilik mangsa tidak berselerak dan dompetnya juga masih berada di atas katil serta tingkap bilik tidur telah terbuka dan konsisten dengan tempat mangsa jatuh," katanya.

Siasatan juga katanya, mendapati kematiannya tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai bertindak terjun keluar melalui tingkap bilik untuk membunuh diri.



Mayat Nyuk Moi kemudian di bawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat

Wednesday, 26 August 2015

Liga Malaysia sukan berprestij tapi pingat taraf budak tadika



Tahniah diucapkan kepada JDT dan Kedah kerana telah dinobatkan sebagai sebagai juara Liga Super dan Juara Liga Perdana musim 2015.


























Namun apa yang menyedihkan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan dan telah menjadi Viral di media sosial tentang mutu kualiti pingat atau medal  yang disediakan.

Liga Super dan Liga Perdana merupakan satu pertandingan bola sepak yang berprestij namun tenyata kualiti pingatnya tidak menggambarkan tentang taraf sebenar sukan tersebut.

Jika kita lihat dari segi persembahan pingatnya ternyata amat menggelikan hati kerana ia menyerupai pingat sukan sekolah larian dalam guni, membawa telur dalam sudu. Budak tadika pun boleh dapat.



  

Sapa yang patut dipersalahkan dalam hal sebegini? Adakah kerana sikap  pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kurang mengambil perhatian tentang perkara ini. Budget berjuta-juta tapi pingat ?

Cuba bandingkan dengan pingat di bawah.

Medal Kuching Marathon




Monday, 24 August 2015

Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?


Fort Margherita


MATAHARI hampir ke tengah ketika Suntong leka mencari rezeki di Sungai Sarawak. Jala ditebar ke permukaan air lalu menyerkap udang dan ikan. Suntong bertubuh sasa membongkok mengutip ikan dan udang yang sangkut pada jalanya. Jauh sudah dia berkayuh dari kampung Boyan menuju ke arah Astana. Kayuhannya lancar. Nasib baik dia tidak terpaksa menyungsung benak, fikirnya. Benak hanya milik Batang Lupar dan Batang Sadong. Suntong kini menghampiri tebing di bawah lembayung daun pokok pukul lima.

“Kubu Margherita memang kukuh, bahan binaannya adalah batu. Dulu ketika pemerintahan James Brooke kubu di Berlidah dibuat daripada kayu belian dan kerap diserang musuh. Tetapi Kubu Margherita tetap kukuh tanpa sebarang percubaan serangan oleh pejuang. Di situ ada gudang senjata dan bilik tahanan banduan sebelum menjalani hukuman mati.” Suntong teringat kata-kata Datu Bujang.

“Tiap-tiap malam, dari situ datangnya suara gagah pengawal-pengawal berteriak menyatakan keadaan terkawal. Itu kerja kau, kalau kau sanggup. Yang penting kau belajar guna senjata orang putih.” Masih terngiang-ngiang di telinga Suntong pujukan Datu Bujang agar dia setuju masuk pasukan Renjer Sarawak.

Suntong pernah berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan menjaga kubu putih. Tetapi kini Suntong mahu meruntuhkan kubu itu dan mengusir Brooke. Dia pernah meluahkan hasratnya kepada Datu Bujang. Dia tidak takut menyatakan hasrat kepada bapa saudaranya. Dia boleh berjuang walaupun sendirian. Badannya tegap berotot kuat.

“Bercakap kena berfikir, pandang-pandang, jangan ikut sedap mulut nanti badan binasa.” Datu Bujang menepuk bahunya.

“Sampai bila kita nak diam?" Suntong memprotes dengan nada geram. Datu Bujang mahu Suntong berhati-hati menyusun rancangan dan usah gopoh. Suntong diingatkan tentang kegagalan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Gapur dalam usaha menyerang Kuching. Rahsia pecah hingga sampai ke telinga Raja Charles Brooke.

Geram hati Suntong menjadi-jadi ketika melihat tebing tinggi bertanjung itu. Dia melihat kubu berwarna putih tegak megah. Kubu itu diberi nama Margherita sempena nama isteri raja penjajah. Kubu putih itu seolah-olah mengejek Suntong yang mahu merapati tebing. Itu yang dirasakan hati Suntong. Berkayuh ke tepian sungai tidak sepayah hati melihat kubu. Tiap kali berkayuh ke situ hatinya pedih diejek kemegahan Kubu Margherita. Kubu itu seperti berteriak ke arahnya, “Lihatlah aku akan kukuh melindung Brooke untuk memerintah 100 tahun lagi.”

Suntong terus berkayuh sambil memerhati letak alam di sekitar bagi melupakan sebentar kubu yang memanaskan hatinya. Di seberang sana bertentangan dengan kubu, ada pejabat Syarikat Borneo dan deretan kedai Cina yang membentuk sebuah kota. Suntong tahu di atas Bukit Mata Kucing ada banglo-banglo mewah kerana dia pernah ke situ. Persekitaran Sungai Sarawak masih lagi indah alamnya dengan tebatan pokok-pokok besar. Dari jauh kelihatan Tugu Charles Brooke. Di tebing sungai sebelah sana sebuah stor menyimpan minyak kepunyaan Syarikat Borneo agam berdiri. Di sebelah kubu putih, letak Astana kediaman Raja Putih.


Suntong memerhati pula pondok-pondok penduduk di tebing bersebelahan Astana. Sungguh daif. Perbezaan latar itu menyentuh hatinya. Namun Suntong dibayangi peringatan Datu Bujang agar jangan bertindak terburu-buru. Kadang-kadang Suntong menganggap nasihat itu satu halangan. Halangan yang cuba dibuat agar golongan belia bangsa seperti dia tidak bangun memberontak. Suntong kerap berfikir tentang halangan itu. Ada prejudis tumbuh dalam benaknya terhadap kepemimpinan orang tua seperti Datu Bujang. 
Kepimpinannya

Bagi Suntong Datu Bujang laksana kerbau dicucuk hidung. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri. Kepemimpinannya hanya menghambat anak muda daripada memberontak. Pemimpin yang takut kehilangan kuasa jika anak buah memberontak. Aku fikir itu tujuan Raja Brooke membawa orang seperti Datu Bujang dalam pentadbiran, agar tiada pemberontakan. Hati Suntong merungut lagi. Warnawarna hitam melekat di hati.

Suntong menyelak lipatan sejarah dalam kepala tatkala tangan kekarnya masih berkayuh mencari tempat menebar jala. Dia ingat orang Melayu pernah memberontak pada akhir tahun 1830-an terhadap pemerintahan orang Melayu Brunei. Datu Patinggi Ali berjaya meniup semangat juang orang Melayu agar bangkit daripada penindasan.

Kota Kuching akhirnya bebas dan Pangeran Indera Mahkota balik ke Brunei. Bebas hanya beberapa ketika sahaja. Datang Pangeran Raja Muda Hasyim mengambil jalan mudah menentang pemberontakan dengan mengundang bantuan asing. Orang Melayu hidup di bawah telunjuk askar pencen yang dilantik menjadi raja.

“Aku bukan melarang atau menahan kau daripada menentang Raja Brooke. Tapi aku mahu tindakan kita tidak berbuah kecewa. Ramai yang akan mati dan hidup kita semakin hina.” Suntong ingat kata-kata Datu Bujang yang seperti membela diri.

“Setiap perjuangan memang perlukan pengorbanan. Kita perlu mencuba sebelum berfikir tentang kegagalan.” Suntong pula menyanggah pendapat bapa saudaranya.

“Suntong, aku tahu kau berdarah pejuang. Dalam diri aku pun mengalir darah yangsama. Kita tunggu masa mengatur langkah pertama. Jangan terburu-buru. Langkah pertama lebih bermakna jika sudah cukup bekalan di dada dan di tangan.” Kata-kata


Datu Bujang membunuh prejudis Suntong walaupun bukan semuanya padam. “Khabar dari Astana Perlembagaan Sarawak untuk anak Sarawak. Sarawak akan diperintah rakyat Sarawak. Majlis Negeri diberi kuasa memerintah. Perlembagaan ini ke arah memerdekakan Sarawak. Jika benar, mudah kerja kita tanpa menggunakan kekerasan.” Datu Bujang mengkhabarkan hasrat Raja Charles Vyner Brooke ketika perayaan 100 tahun memerintah Sarawak. Khabar itu masih lagi panas dan menjadi buah mulut sesiapa yang mengerti.

Kuasa asing

“Adakah Datu mudah mempercayai kuasa asing? Sekadar janji manis mengumpul sokongan orang seperti Datu.” Suntong menggoyah keyakinan Datu Bujang yang bergayut pada janji Raja Muda. Hati Datu Bujang terhiris oleh sembilu lidah Suntong.

Dia cuba digolongkan anak saudaranya dalam kelompok orang yang mudah menelan janji. Dia bersabar. Perasaan berang disimpan kemas dalam hati, apa lagi terhadap anak saudara harapannya. ‘Kata-kata Suntong ada benar’ pada fikirannya. Janji Charles Vyner Brooke ketika hari ulang tahun ke-100 pemerintahan keluarga askar pencen itu, mungkin tersembunyi cita-cita ingin memerintah 100 tahun lagi.

Suntong tidak percaya janji Brooke. Mahukah dia merdekakan Sarawak yang banyak mengandung untung. Bau sudah melahirkan emas dan antimoni untuk Brooke. Perut Miri pula sarat dengan minyak. Agak susah untuk Suntong percaya janji Charles Vyner Brooke mahu melepaskan semua kekayaan itu. Tidak semudah itu dia melepaskan Sarawak kembali dipimpin orang Melayu.

“Kita tunggu dulu. Jika kita ditipu juga, maka aku akan bersama kamu. Kita ganyang mereka!" suara Datu Bujang perlahan tetapi tegas. Kata-kata itu menjadi pegangan Suntong untuk menagih janji satu masa nanti. Suntong menutup lembaran sejarah dan kisah silam dalam kepalanya apabila perahu hampir ke tebing batu. Dia terasa hembusan angin di situ sungguh sejuk dan mendamaikan jiwanya yang resah menahan ledakan darah pejuang. Tebing batu berlumut dan pokok-pokok besar megah berdiri. Suasana menyenangkan hatinya. 

Di permukaan air arus sungai tidak lagi meluncur laju. Di situ airnya tenang. Suntong menebarkan jala. Dia masih leka. Rezeki Tuhan diambil tetapi pemberi rezeki dilupakan. Dia memang lupa. Jala menerkam rezeki yang ada di dalam sungai. Terasa berat jala diangkat ketika dibawa ke perut perahu. Lipatan jala mula dibuka dan diangkat batu-batu pemberat. Ikan dan udang melompat-lompat.

Benarkah Sarawak akan merdeka dengan mudah? Orang Melayu akan memerintah kembali bumi di lembah Sungai Sarawak? Tiba-tiba pertanyaan itu menerjah lagi dalam kotak fikiran tatkala dia membongkok mengutip udang bersepit biru dan ikan yang menari di dasar perahu. Ketika menoleh ke pangkalan penambang, baru dia sedar hari itu ialah penghulu segala hari tatkala retina matanya melihat beberapa orang berkain pelekat, berbaju Melayu dan bersongkok hitam berdiri di tepi pangkalan menunggu perahu untuk ditumpang ke seberang. Dia teringat kalendar di rumah Datu Bujang, semalam kalendar itu berangka Khamis, 18 Disember 1941. Dia bergegas hendak berkayuh balik ke rumah di Kampung Boyan.

Dentuman 

Tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Tidak pernah didengar bunyi dentum sekuat itu. Dentuman menggegar bumi berturut-turut disertai bunyi belon yang berdengung di atas langit. Dia mendongak. Beberapa buah belon terbang rendah dan melepaskan bom, berdentum menyentuh bumi. Bumi terbakar dan bangunan musnah.


Deretan kedai bertukar jadi sarang api. Bunyi teriak orang di pasar seberang kedengaran seperti tangisan dari neraka. Banyak nyawa melayang pergi meninggalkan jasad. Bunyi dentuman kedengaran bertalu-talu. Sempat juga Suntong menaruh harapan pada bom-bom itu agar meruntuhkan Fort Margherita. Suntong lupa dia dalam bahaya. Dia masih di permukaan air. Tiba-tiba sebutir bom jatuh di tengah sungai bertentangan dengan kubu putih. Air sungai berkocak kuat seperti ada buaya besar menyerang mangsa. Suntong sekuat kudrat mengawal perahu. Tarian perahu akhirnya berhenti kerana tangan kekar Suntong mahir mengemudi. Suntong melompat naik ke tebing.

Dari tebing batu itu Suntong berdiri menyaksikan perubahan pada kota Kuching. Dia melihat sebuah stor minyak Syarikat Borneo di tebing sungai menjadi gunung api. Kebakaran amat dahsyat. Api dengan lahap menjilat minyak. Kepulan asap tebal menjulang ke awan. Cahaya terang pada tengah hari Jumaat yang panas itu bertukar malap hingga ke petang. Suntong kecewa kerana bom yang hampir mengenainya hanya bernoktah di situ.

“Brooke lemah. Jepun yang menggugurkan 24 biji bom dari Simpang Tiga hingga ke tengah sungai tidak mampu ditentang. Kita guna senjata Jepun ini jahanamkan Brooke.” Suntong membelek-belek senapang dan bom tangan hasil rampasan.

Suntong terbayang kecekapan kawan-kawan dalam serang hendap di Matang. Beberapa kepala Jepun berjaya dipancung. Terbayang juga pancutan darah hanyir Jepun mengenai bajunya.

“Kita serang dari sungai. Aku sudah beberapa kali menjala di situ. Aku sudah tahu benar keadaan di situ. Aku pasti kita berjaya mendaki tebing tinggi hingga ke kubu. Kita bergerak malam ini.” Suntong memerhati bebola mata tujuh orang rakan pejuang bergilir-gilir. Suntong yakin dia dan rakan-rakan akan berjaya sekali lagi. Lapan orang pejuang bekas Renjer Sarawak itu cekap dan gagah. Selepas pembubaran Renjer Sarawak pejuang itu memenuhi dada dengan ilmu persilatan.

Pada malam penentuan itu, kecekapan, pengalaman dan ilmu telah menjayakan pejuang-pejuang mendaki tebing curam berlumut secara senyap. Belukar dan siratan akar-akar kayu dirempuh dengan mudah. Suntong dan rakan-rakan bersiap sedia dengan rifel dan machine gun. Muncung dihala ke arah pengawal yang mundar-mandir di atas benteng panjang di sebelah kiri kubu.

Dengan isyarat tangan Suntong memberi arahan untuk menembak. Gema tembakan bagaikan bertih digoreng tepat mengenai sasaran. Pengawal di atas kubu jatuh satu persatu. Kemudian naik beberapa orang lagi ke atas benteng. Tembakan berbalas dari Fort Margherita. Suntong melontar pula bom tangan sekuat hati. Bom jatuh di dinding dan menggegar kubu. Tembakan dari arah kubu semakin rancak dituruti dentuman bom. Suntong semakin bersemangat dan geramnya menggila untuk memusnahkan kubu. Dia berlari sambil menembak dan berguling-guling berlindung di tanah tinggi rendah.

Dengan semangat dan keberanian di tahap puncak dia menghampiri kubu dan melontarkan bom tangan sekuat tenaga. Sasaran tepat, bom melambung tinggi dan menjunam di tengah kubu. Hati Suntong puas melepas geram. Dia berundur menghampiri rakan di tebing sungai. Dia tahu pasukannya kurang peluru. Bom tangan pun sudah habis.

Tiba-tiba tembakan datang dari arah kanan kubu. Tembakan itu disasarkan ke arah kubu. Tembak menembak saling berbalas.

“Ayuh kita berundur menuruni tebing curam. Itu tentera Maeda. Biar pemusnah memusnahkan perosak.” Suntong bergerak ke arah tebing tinggi dan turun ke sungai dituruti rakan-rakan tanpa cedera.

Tatkala tentera Maeda mengambil alih Kuching dengan rasmi pada pukul lima petang hari yang malang itu, ketua tentera masih dihantui kisah semalam. “Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?"

l Glosari;
Belon (Bahasa Melayu Sarawak) ialah kapal terbang.
Oleh : Mohd. Ali Bin Salim

POA bukanlah perkara yang luar biasa




Harga atas permintaan (POA) bukanlah isu yang besar kerana ia merupakan merupakan sesuatu yang normal bagi mata wang Ringgit di negara-negara luar.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh berkata pengurup wang di negara-negara tersebut mungkin tidak berdagang dengan mata wang Ringgit atau tidak mempunyai stok Ringgit yang banyak maka ia mungkin antara faktor yang menyebabkan dipaparkan POA pada papan senarai semakan tukaran wang.

Jelasnya, pergerakan nilai ringgit yang sentiasa mengalami kenaikan dan juga penurunan berbanding mata wang negara berkenaan juga boleh menyebabkan pengurup wang meletakkan POA pada Ringgit.

“Apabila rakyat Malaysia ingin ke China untuk melancong atau membeli-belah, sudah tentu akan menukar duit berkenaan di Malaysia dan tidak akan membawa duit Ringgit dalam jumlah yang banyak ke China.

“Sekiranya kekurangan wang, mereka boleh saja mengeluarkan wang di bank-bank atau mengaktifkan pengeluaran di melalui mesin ATM dan atau membeli menggunakan kad debit dan sebagainya.

“Jadi pihak yang menyebarkan perkara ini cuba mengambil kesempatan dan membesarkan perkara yang tidak menjadi isu langsung dari sudut ekonomi mahupun tukaran wang asing,” 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyebaran gambar menerusi Facebook dan blog mengenai mata wang Ringgit yang berada dalam status POA di dipaparkan POA pada papan senarai semakan tukaran wang.

Senario berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga Internet yang mengaitkannya dengan kelemahan nilai ringgit dan juga ekonomi negara pada ketika ini.

Tambah Noorizuddin, rakyat tidak perlu terlalu bimbang dengan penurunan nilai Ringgit pada ketika ini kerana kerajaan dan Bank Negara Malaysia sentiasa membaca dan memerhatikan trend penurunan berkenaan sebelum langkah mengatasinya dilaksanakan.

Ujarnya, kerajaan masih belum melaksanakan langkah fiskal atau apa-apa tindakan kerana ia masih belum perlu dilaksanakan pada ketika ini dan rakyat tidak perlu takut mengenainya.

“Rakyat tidak perlu risau mengenai trend penurunan ini kerana apabila tiba masa yang sesuai maka kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasinya,” tegasnya.

Thursday, 20 August 2015

SEJARAH AWAL BAGAIMANA AIRASIA BERMULA



Temuramah dengan Tan Sri Tony Fernandes (Gambar adalah pejabat Tony Fernandes di LCCT, ada satu pintu yang membolehkan anda naik ke atas, di antara barisan kedai-kedai, ada lif, tingkat 1) .

SIAPA YANG MULA-MULA TERLIBAT?
Saya dan Kamaruddin berdua pada mulanya, Kamaruddin saya kenal melalui Roslan Aziz, dulu saya bekerja dalam industri hiburan, bila saya balik (dari England) tidak ada musik tempatan, hanya ‘Mat Saleh musik’.

Kami mulakan musik tempatan, dengan Jamal Abdillah, Salem, dan Zainal Abidin, saya kenal dengan Roslan Aziz dan Roslan perkenalkan saya dengan Kamarudin.

Sampai satu hari saya jemu berkerja dengan orang asing, saya terfikir hendak buka syarikat penerbangan, dan Kamarudin adalah orang yang tidak ketawa dengan idea saya.

Dia orang yang terlibat dengan dunia kewangan. Jadi saya beritahu, boleh pergi cari RM20 juta, kita perlukan.

KENAPA PILIH SYARIKAT PENERBANGAN?
Bila saya bersekolah di England, ayah saya hantar saya ke sana ketika berusia 12 tahun, tidak ada siapa yang menunggu di lapangan terbang, saya perlu menaiki bas ke sekolah itu, saya lakukan sendiri. Dan bayangkan ketika itu, bila saya sampai ke lapangan terbang, semua orang berkulit putih… kah kah kah (ketawa).

Ketika itu tidak ada telefon bimbit, perlu guna telefon awam, saya telefon emak tanya, boleh saya balik masa cuti penggal, emak saya kata, tidak boleh kerana (tiket penerbangan) terlalu mahal.

Dari saat itulah, saya terfikir, satu hari perlu buat penerbangan murah, perkara itu sentiasa ada dalam fikiran saya.

Ibu saya ketika muda memulakan perniagaan Tupperware di Malaysia, banyak staf saya kini adalah bekas pekerja ibu saya.

Saya selalu ikut dia terbang ke sana-sini untuk perniagaannya, jadi konsep penerbangan tambang murah ini sentiasa bermain di fikiran.

Bila saya berhenti dari Warner Music, saya duduk di bar dan lihat iklan Easyjet (syarikat penerbangan murah England) dan saya terfikir wow, idea ini bagus.

Kemudian saya pergi ke lapangan terbang Luton, sunguh mempersonakan, boleh terbang ke Barcelona tambah lapan pound, ke Paris 10 pound.

Saya jumpa Kamarudin dan beritahu hendak buka syarikat penerbangan, dia tak kata ‘idea bodoh’ atau seumpamanya, dia kata okay.

Kami jumpa, saya terangkan kepadanya, dia kata, okay, saya join, dan kemudian tanya, apakah saya nak gunakan duit saya sendiri, saya kata ya, dia kata okay, saya setuju kita bahagi 50-50, saya kata ini idea saya bagilah saya 51, dia kata okay. Selesai.

Kemudian saya ajak Aziz Bakar sertai kami, kami bertiga dengan modal RM 1 juta, (Aziz tak letak duit). Kami mula duduk bersama, dan mula buat bisnes plan.

Ia agak mengejutkan sebab kami semua tidak ada pengalaman dalam dunia penerbangan. Kami dapat dari internet.

Kemudian, kami jumpa dengan Datuk Pahamin (Ab Rajab) (bekas Ketua Pengarah Jabatah Pengangkutan Jalan) kami pernah berkerjasama hapuskan cetak rompak ketika saya masih dalam industri hiburan.

Kami jumpa (bertiga) dan makan roti canai, kemudian Aziz buka cerita, “eh macam mana kita hendak dapat lesen penerbangan? “ Kami semua saling berpandangan, “Yalah macam mana hendak dapat lesan penerbangan..” sudah tentu tak boleh dibeli di kedai… kah kah kah (ketawa)

Kemudian Kamaruddin kata “Kita perlukan sokongan politik,” sekali lagi kami saling berpandangan… kami tak kenal siapapun… kah kah kah

Kami kemudian pergi jumpa Datuk Pahamin, terangkan kepadanya, dia suka idea itu dan setuju, dia ada pengalaman dalam Kementerian Pengangkutan, bila timbul soal lesen, dia kata, kita perlu berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir.

Jun 2001, kami bertiga saya, Aziz dan Pahamin, Kamarudin tidak dapat sertai.

Saya sampai awal, ketika sampai, pagar pun belum buka, tidak lama kemudian, bila boleh masuk, kami duduk menunggu sampai ada orang datang, mereka kenal Aziz, dan tanya “Jumpa PM sebab cetak rompak ke?” kah kah kah

Semua orang kenal kami sebagai orang dalam industri hiburan, tapi Aziz kata “Tidak kami mahu buka syarikat penerbangan,” “semua ketawa” kah kah kah.

Semasa kami menunggu, ada pegawai PM beritahu, hari ini bukanlah hari yang baik untuk bertemu PM, saya tanya mengapa, katanya, temujanji pertama PM hari itu adalah dengan pembangkang.

Ia berhubung isu sakit belakang Anwar Ibrahim yang dipenjara ketika itu, yang hadir jumpa PM termasuk ketua pembangkang Datuk Fadzil Noor.

Saya diam, kemudian diberitahu, temujanji kedua PM hari itu adalah dengan MAS, wah lengkap, mula-mula pembangkang kemudian dengan MAS, kamu bayangkan…kah kah kah (ketawa)

Saya terfikir hendak tulis semula CV dan pergi ke BMG Music… hahaha

Ketika beliau masuk ke pejabat PM, luas sungguh, Dr Mahathir kamu tahulah, dia serius orangnya dan terus berkata, “I’m sick, make it fast,”.

Saya terfikir, mula-mula pembangkang, kemudian MAS dan kini PM kata dia tidak sihat. Hahaha, lengkap.

Saya fikir habislah, saya tidak bercakap soal cadangan kami lagi, sebaliknya, sebagai orang dari industri hiburan, saya beri PM satu CD album terbaru SM Salim dan Siti Nurhaliza, rakaman terakhir saya, saya tahu PM peminat SM Salim.

Bila hilang kekok, baru saya bentangkan cadangan saya, Dr Mahathir tidak kata apa-apa, dia hanya senyum sikit bila saya bergurau tentang Singapura, tetapi akhirnya, kami semua terkejut, kerana PM tahu semuanya tentang penerbangan tambang murah.

PM kata dia suka lihat kesungguhan kami, walaupun latar belakang kami bukan dari industri penerbangan, tapi kami menunjukkan kesunguhan, dan dia yakin akan berjaya.

PM akhirnya kata, “Saya tidak ada masalah dengan idea kamu…” kami semua teruja dengan komen dia untuk setengah minit, dan kemudianya dia kata “Tapi… kamu kena ambil alih syarikat penerbangan yang ada, ada dua syarikat penerbangan yang gagal, kamu kena ambil alih yang sudah ada…”

Pertemuan berakhir, kami keluar dan berfikir, duit ada sejuta sahaja, macam mana hendak beli syarikat penerbangan, tapi saya positif.

Kami pergi ke Pelangi Air, anak syarikat milik kerajaan Terengganu, tapi kami dapati sukar untuk baik pulih syarikat itu.

Entah bagaimana, satu hari saya sedang bermain golf saya terlihat kawan lama DRB Hicom, saya teringat tentang Air Asia kepunyaan mereka, saya tanya kepadanya, dia soal semua, “kamu mahu membelinya? Esok pun boleh…kami tidak mahukannya”

Kemudian kami atur pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi DRB Hicom, konsisten, mereka mahu jualnya, mereka tanya saya berapa saya hendak beli, saya bergurau RM1, ya kata mereka esok kamu boleh ambil alih.

(Nota: Ketika itu Air Asia ada hutang sebanyak RM40 juta, dengan dua pesawat dan 254 kakitangan)

Kami setuju dan tandatangan perjanjian pada 8 september 2001, 10 tahun dulu.

Kami tiada modal, saya dan Kamaruddin cagarkan rumah kami pada bank untuk cari modal.

DRB Hicom banyak membantu kami diperingkat permulaan, saya perlu nyatakannya.

Kami syarikat penerbangan berlandaskan syariah sebenarnya. Kami satu-satunya penerbangan yang tidak menjual alkohol di rantau ini.

(Ahmad Faizul) ini antara paling awal sertai kami. Dia buat macam-macam tugas, pengurus kabin crew dan lain-lain. Dia dari MAS, sekarang dia jaga komunikasi saya.

Dia bacth yang ke lapan, satu sampai tujuh staf asal ketika bersama DRB Hicom lagi, dia yang ke lapan, dan kini kami ada 127 bacth dalam masa sepuluh tahun.

Saya ingin tekankan bahawa, kami syarikat 1Malaysia dari awal lagi, dan kami juga syarikat bumiputera, ini bukan Ali-baba, Kamaruddin, Aziz Bakar dan Datuk Pahamin adalah pemegang saham yang aktif dan kami kawan.

Kalau kamu lihat Pegurus Kanan Air Asia kamu dapati ramai bumiputera, tapi tidak pernah terfikirkannya, dan kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing.

Majoriti staf adalah bumiputera. Pembahagian tugasnya mudah, Kamarudin jaga kewangan dan korporat, Aziz Bakar jaga PR, dan saya jaga marketing dan operasi.

LALUAN PENERBANGAN PERTAMA AIRASIA?
Memula-mula saya dapat laluan ke Langkawi, kemudian dapat Pulau Pinang dan selepas dua tahun kami beroperasi semuanya jadi lebih mudah. Pada kami orang ramai, rakyat yang banyak membantu kami.

Kerana sebelum itu sukar untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan (mahal). Orang ramai yang berjuang untuk kami. Sebenarnya orang pertama yang membantu kami dari segi media adalah Rocky Bru (Ahtirudin Atan) dan NST.

Dia adalah editor Malay Mail, saya duduk dengan beliau, dan beliau banyak membantu, juga Utusan dan Berita Harian, Datuk Manja Ismail. Aziz Bakar kenal mereka ini semua.

BAGAIMANA ANDA MEMBINA AIRASIA?
Kami membina jenama, tidak ada syarikat Malaysia yang melabur seperti kami, kami taja MU, pengadil, Formula 1, LA Rangers, kamu tidak boleh pergi dari 200,000 penumpang kepada 30 juta penumpang tanpa melabur.

MAS perlu membina jenamanya.Taja golf atau apa saja, Emirates ada di mana-mana. Kamu potong kos di sana sini, dan akhirnya kamu tiada keuntungan, tiada gunanya.

Syarikat Malaysia kurang pentingkan pembangunan jenama, kami sebaliknya, saya ke Liga Perdana Inggeris, bentangkan kepada mereka mengapa perlu menyokong syarikat Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia sudah menonton Liga Perdana Inggeris sejak 60 tahun dulu.

Membina jenama adalah amat penting pada syarikat yang ingin berkembang, ketika kami menaja MU, saya dan Kamarudin ke Old Trafford, kami tidak menonton perlawanan, kami menonton papan iklan… hahaha wow Air Asia.. haha.

Kami bawa pasukan MU dalam penerbangan kami. Itulah kali pertama semua pemain hendak ikut serta dalam program bersama penaja, kerana apa? Kerana ada 25 gadis cantik (kabin krew Air Asia) yang melayan mereka sepanjang penerbangan… hahaha

Friday, 14 August 2015

Pantang maut sebelum ajal


BINTULU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Tatau dalam kejadian pada jam 4.48 petang Isnin lalu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan selamat di sungai berkenaan sekitar jam 9.35 pagi semalam.

Mangsa yang merupakan warganegara Indonesia dikenali sebagai Suparat, 32, bekerja dengan sebuah syarikat di Sungai Nyigu di sini dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Tatau dari atas sebuah tongkang.

Pasukan SAR melakukan tugas pencarian mangsa merangkumi kawasan Tatau hingga ke Kuala Tatau dan tidak diketahui bagaimana mangsa terselamat selepas terjatuh ke sungai terbabit dan terkandas di situ sejak Isnin lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Pegawai Bomba Tinggi Azrel Izaidi Ahmad yang mengetuai operasi SAR berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat berdekatan dengan Samling Logpond di Kuala Tatau.

Menurutnya, semasa sedang melakukan operasi SAR, mereka terlihat seorang lelaki duduk di tebing sungai sambil melambai meminta tolong.

Katanya, mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah dibawa dengan bot penyelamat bomba ke Tatau dan setibanya di Tatau, mangsa dibawa dengan ambulans ke Klinik Tatau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.48 petang Isnin lalu daripada Polis Tatau mengenai seorang lelaki warganegara Indonesia yang terjatuh ke sungai.

Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah mengerahkan lima anggotanya diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mamat Rhayi bersama sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot untuk tugas-tugas menyelamat.

Lokasi kejadian dari BBP Tatau ialah tiga kilometer dan jentera pertama tiba pada petang hari yang sama. Operasi SAR mangsa pada hari pertama ditangguhkan pada jam 6.40 petang dan disambung semula keesokannya sehinggalah pasukan SAR berjaya menemui mangsa pagi semalam. -UB

Tuesday, 11 August 2015

Kerajaan persekutuan memberikan pemerkasaan kuasa yang lebih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka, Kuching, malam ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan persekutuan memberikan pemerkasaan kuasa yang lebih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan.

“Saya berhasrat memberi pemerkasaan yang lebih kepada Sarawak dan Sabah.

“Perbincangan telah pun dimulakan untuk menentukan apakah bentuk pemerkasaan yang boleh kita turunkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka di sini, malam tadi.

Perasmian Pelancaran Sambutan Bulan kebangsaan dan Kempen kibar jalur gemilang 2015 oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Padang Merdeka, Kuching, hari ini. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Mengulas lanjut, Najib berkata sekiranya pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri dapat diselaraskan maka banyak sumber akan dapat diselamatkan.

“Itulah untungnya jika kerajaan sealiran pada peringkat persekutuan dan negeri.

“Saya akan umumkan bersama Ketua Menteri apa bentuk pemerkasaan kepada Sarawak nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan persekutuan akan turut memberi keutamaan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Ribuan hadir menanti PM bagi Pelancaran Bulan Merdeka di Padang Merdeka semalam
“Apa yang diperlukan oleh Sarawak, kita cuba akan membantu seperti mana yang telah saya umumkan pada setiap kali melawat Sarawak sama ada membina hospital, jalan luar bandar, sekolah, klinik, universiti dan tentu sekali projek ikonik Lebuh Raya Pan Borneo yang telah mula dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata mulai tahun ini sambutan Hari Kebangsaan akan diraikan tanpa menyebut tahun kemerdekaan demi menghormati rakyat Sarawak dan Sabah.

“Ini kita lakukan untuk mengelak kekeliruan bilangan sambutan ulang tahun kemerdekaan ini yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Terdahulu, Adenan berkata kerajaan negeri akan terus berdiri teguh di belakang Najib.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan turut berunding dengan kerajaan persekutuan untuk memperhebatkan lagi pembangunan di Sarawak.

“Sarawak telah banyak mengalami perubahan dari segi pembangunan dan tidak dinafikan Sarawak maju dalam Malaysia namun ia belum mencukupi.

“Kita masih ketinggalan daripada Semenanjung dari segi kemajuan serta pembangunan dan kita mahu apa yang ada di Semenanjung juga ada di Sarawak,” katanya.


Monday, 10 August 2015

Wanita disoalsiasat polis kerana mempamerkan pelekat # TangkapNajib



KUCHING: Seorang wanita sedang disoalsiasat polis kerana mempamerkan pelekat # TangkapNajib dicermin belakang kenderaan yang dipercayai milik beliau.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Ahmad Bek ketika dihubungi pemberita sebentar tadi mengesahkan yang pihaknya sedang menyiasat wanita yang berusia 31-tahun tersebut.

"Lebih kurang jam 3 petang tadi, sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Kulas, Kuching telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang diletakan di tepi jalan."

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat perkataan #TangkapNajib berwarna putih dibelakang cermin kenderaan tersebut," katanya sambil menambah,hasil semakan lanjut mendapati pemilik kenderaan tersebut adalah wanita.

Menjelaskan, pemilik kenderaan tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk membantu siasatan polis, Roslan menambah, kes disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan).

"Sekiranya didapati bersalah, si pesalah boleh dihukum penjara sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya lagi sambil menasihati, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana orang yang melanggar peraturan ini.

"Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mempamerkan pelekat yang seumpamanya dimana-mana bahagian kenderaan," tegas Roslan lagi.

Sunday, 9 August 2015

Dua pekerja kem balak lemas, bot terbalik

KANOWIT - Dua pekerja kem pembalakan lemas manakala empat lagi rakan mereka berjaya menyelamatkan diri selepas bot yang mereka naiki karam di Sungai Kanowit dekat Nanga Machan semalam.



Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superitendan Ismail Mahmood berkata,  mayat Kiung Teck Ying, 24, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat melibatkan Bomba dan Penyelamat, polis serta penduduk setempat pada 3.55 petang.

Mayat seorang lagi mangsa, Ngian Seng Chu, 25, pula ditemukan kira-kira 6.42 petang, 30 meter dari tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat, kes kini sedang dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.



Ismail berkata dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, bot dinaiki mangsa karam dipercayai gagal dikawal lalu terbalik ketika menyeberangi Sungai Kanowit dari jeti belakang pekan Kanowit.  

Beliau berkata, pengurus kem pembalakan itu, Kong Chek Fong telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.